Perkhidmatan Express Rail Link (ERL), termasuk KLIA Ekspres dan KLIA Transit, mengalami gangguan buat hari kedua berturut-turut akibat perbuatan vandalisme di mana kabel penting telah dipotong. Kejadian ini menyebabkan semua perkhidmatan ERL digantung sementara waktu.
Kejadian mula berlaku pada 8 April 2025, jam 6.20 pagi, di KM48.5 antara Stesen Salak Tinggi dan KLIA Terminal 1.
Baca Juga:
- Iklan PTPTN Di KLIA2 Buat Peminjam ‘Sentap’ Undang Pelbagai Reaksi Netizen
- AirAsia Pindah Dari Subang, Satukan Operasi Domestik Di KLIA 2 Pada April Ini
- Miliki 12 Pasport Asing Di Pinggang, Pegawai Imigresen KLIA Tak Masuk Kerja Sampai Hari Ini
Kemudian insiden potongan kabel turut berlaku di KM43.1 pada jam 5:52 petang, antara Stesen Putrajaya & Cyberjaya dan Stesen Salak Tinggi.
Sementara kejadian terbaharu berlaku sekali lagi pada hari ini, 9 April 2025, apabila kabel ketiga didapati dipotong pada jam 4:47 pagi di KM47.2, antara Stesen Salak Tinggi dan KLIA Terminal 1.
Pihak ERL turut mendapati ada kabel keempat dipotong berlaku di KM40.6 sekitar jam 5:20 pagi, antara Stesen Salak Tinggi dan Stesen Putrajaya & Cyberjaya.
“Pasukan kami kini sedang bekerja tanpa henti untuk memulihkan perkhidmatan sepenuhnya. Kami memahami kesan gangguan ini terhadap penumpang dan kami memohon maaf dengan ikhlas atas sebarang kesulitan atau kelewatan yang berlaku.
“Penumpang juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dengan sewajarnya dan mengikuti kami di platform media sosial kami untuk mendapatkan kemas kini terkini mengenai perkhidmatan kereta api. Bagi penumpang yang terjejas akibat kejadian ini, mereka boleh membuat permohonan untuk pemulangan wang dengan menghantar e-mel kepada [email protected],” katanya.
Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak ERL membuatkan para penumpang berasa resah.
Ramai penumpang berharap pihak ERL dapat menangkap si pelaku secepat mungkin.
Pada masa sama penumpang berharap agar mereka diberikan pampasan, seperti pas bulanan mereka dilanjutkan gara-gara insiden berlarutan yang berlaku ini menyebabkan mereka perlu berbelanja lebih untuk pergi ke tempat kerja pada ketika ini.