Seorang wanita meluahkan rasa kurang senang beliau apabila ditegur kerana menjual nasi bajet terlalu murah sehingga didakwa menganggu ‘market’ peniaga lain.

Seorang pengguna X dengan nama Nurul Shima, yang juga mengusahakan perniagaan Nasi Bajet, telah berkongsi pengalamannya ditegur oleh seseorang kerana menjual makanan terlalu murah sehingga merosakkan perniagaan orang lain.

Dia menulis, “Datanglah seorang Hamba Allah ke gerai nasi bajet baru-baru ni. “3.50 satu ke?”, tanya dia. Saya pun ye.
Dia tanya lagi “lauk asing atau campur nasi?” Dan saya pun jawab la lauk asing.

“Dan dia pun tanya lagi. Sampai la ke peringkat saya terkedu kejap bila dia cakap: “Awak ni nak tutup periuk rezeki orang yang jual nasi lain ke? Kalau awak jual harga gini, macam mana peniaga lain nak hidup? Mesti orang beli kat awak sebab murah. Awak kena naikkan harga jadi 4.50, kena selarikan nasi rahmah”. Aikkk.. dia dah tanya itu ini, lepas tu dia ceramahkan saya pulak,” katanya.

Tidak mahu pergaduhan ini berpanjangan, beliau pun memberi sebungkus kepada lelaki terbabit kerana sudah malas melayan kerenahnya.

“Encik amik sebungkus ni, saya bagi percuma je. Encik cuba. Kalau ok, boleh singgah beli nanti”, saya senyum dan malas nak layan. Pelbagai peel (tingkah laku) orang yang datang singgah gerai nasi bajet saya ni. Kadang ada rasa nak tepuk dahi sendiri kat situ jugak,” katanya.

Perkongsian beliau itu mendapat pelbagai reaksi di media sosial dan telah dikongsi lebih dari 5,000 orang.

Kebanyakan netizen memberi reaksi lucu terhadap perkongsiannya, sebahagian pula menasihati beliau agar tidak melayan karenah lelaki tersebut, manakala yang lain terus memberi sokongan kepada beliau.