Seorang peniaga, Rosmaini Abd Raof, 41, telah dikenakan hukuman penjara 10 tahun, kerana menyebabkan kecederaan parah ke atas bekas isteri ketiganya. Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bharu.

Menurut hakim, Fatimah Zahari,  keputusan akhir itu dibuat setelah kes tersebut dibicarakan selama 3 tahun. Seramai 11 saksi turut dipanggil sepanjang pendakwaan.

Dipetik daripada laporan Harian Metro, pada 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan telah menyebabkan kecederaan parah ke atas bekas isteri ketiganya.

Menurut pertuduhan ke atasnya, Rosmaini telah memukul bekas isteri ketiganya itu di bahagian kepala, muka dan bahagian tangan. Dia turut didakwa menghentakkan kaki pada bahagian belakang isterinya sehingga menyebabkan cedera parah.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin, pada 4 Mei 2021 kira kira 6 pagi.

Tertuduh disiasat mengikut seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 326A Kanun Keseksaan – yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun.

Sementara Seksyen 326A pula memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh 2 kali ganda tempoh maksimum berdasarkan seksyen kesalahan.

Hakim mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Hakim meneliti semua keterangan, dokumen, dan hujah bertulis semua pihak termasuk mitigasi pembelaan, hujah pendakwaan – maka tertuduh didapati bersalah.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bermula daripada tarikh sabitan yang berlangsung semalam.

Peguam yang mewakili tertuduh, meminta hukuman dikurangkan. Kerana tertuduh mempunyai penyakit jantung. Selain itu peguamnya juga menegaskan bahawa tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu untuk menyara 2 orang isteri dan orang  anak di antara usia 2 sehingga 19 tahun.