Seorang personaliti media sosial Thailand berusia 48 tahun telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka berhubung aksi pemasaran yang dilakukannya untuk mempromosikan daging babi panggang di restorannya di wilayah Phetchabun.
Ini susulan kecaman berjemaah dari seluruh internet yang diterima lelaki itu, Charoensak “Tony” Phosichai, atau lebih dikenali sebagai Uncle Tony, berhubung sebuah video di mana beliau memakai pakaian tradisional Arab yang lazimnya dikaitkan dengan umat Islam sambil mempromosikan daging babi panggang di kedai makannya.

Menurut penerbitan berpangkalan di Thailand, The Thaiger, dalam video kontroversi itu, Uncle Tony dilihat memakai jubah putih Arab yang dikenali sebagai thobe (jubah dalam Bahasa Melayu) dan penutup kepala Keffiyeh (serban dalam Bahasa Melayu), yang secara tradisinya dikaitkan dengan umat Islam, terutamanya semasa solat dan upacara keagamaan.
Sambil mengenakan pakaian Arab itu, Uncle Tony mempamerkan hidangan daging babi panggang yang tersedia di restorannya, malah menghidangkan hidangan itu kepada seorang pelanggan. Sebagai konteks (sekiranya anda tidak mengetahuinya), daging babi dianggap Haram atau dilarang dalam Islam.
“Hai! Selamat Hari Songkran! Semoga anda semua kaya dan sihat. Mari kita raikan Tahun Baru Thai! Sesiapa yang berminat untuk mencuba daging babi panggang boleh berkunjung ke Krua Long Tony.”
Video itu kemudiannya tular, mengundang kritikan daripada umat Islam dan bukan Islam di Thailand atas apa yang ramai anggap sebagai tindakan yang keterlaluan.
Uncle Tony telah padam video terbabit

Susulan kecaman dalam talian, influencer Thailand itu telah memadamkan video tersebut dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka di halaman Facebooknya.
Dalam video permohonan maaf itu, Uncle Tony berkata bahawa beliau tidak berniat untuk menghina sesiapa pun atau mana-mana agama.
Beliau menambah bahawa pakaian Arab itu dibeli di Dubai, dan pernah memakainya semasa sesi penggambaran di padang pasir. Oleh itu, Uncle Tony mengambil keputusan untuk memakainya suka-suka semasa Songkran.
“Saya Tony dan saya ingin memohon maaf kepada semua umat Islam kerana memakai pakaian tersebut semasa mempromosikan daging babi panggang. Saya tidak berniat untuk menghina sesiapa pun atau mana-mana agama.
“Saya mempunyai ramai kawan dalam komuniti Islam. Saya telah pun memadamkan video tersebut. Saya sekali lagi memohon maaf setulus-tulusnya atas apa yang telah saya lakukan,” ujarnya.
@khlipdedkhawron ลุงโทนี่ ออกมาขอโทษแล้ว ยันไม่มีเจตนาลบหลู่ หลังทำคอนเทนต์ ใส่ชุดโต๊ปขายหมูหัน ลุงโทนี่ ชุดโต๊ป มุสลิม ลุงโทนี่หมูหัน
Boleh dijadikan pengajaran buat peniaga di luar sana untuk lebih cakna dengan sensitiviti bangsa atau agama lain apabila mahu membuat sesuatu konten.