Penjaga gol skuad kebangsaan Vietnam, Filip Nguyen berasa puas selepas pasukannya berjaya menewaskan Indonesia dalam aksi peringkat kumpulan B saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 baru-baru ini.

Vietnam berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Indonesia hasil jaringan tunggal ketua pasukan, Nguyen Quang Hai pada separuh masa kedua sekaligus menjadi pendahulu sementara dalam kumpulan B.

Baca Juga:

Filip yang tidak banyak diuji ketika perlawanan menyatakan beliau gembira dengan kemenangan yang diraih oleh pasukannya yang mana aksi semalam merupakan kemenangan pertama beliau bersama skuad kebangsaan.

“Perasaan menang bersama pasukan kebangsaan sangat membahagiakan. Ini adalah kemenangan pertama saya. Apa yang penting pasukan dapat meraih tiga mata dan kini kami mempunyai enam mata. Pintu untuk melangkah ke pusingan seterusnya terbuka lebar.

“Perlawanan ini cukup bagus. Pasukan lawan banyak bertahan namun kami tahu untuk menjaringkan gol. Kini kami sudah berjaya menewaskan Indonesia, saya harap peminat tidak menyalahkan kami selepas ini. Tujuan saya dalam Piala AFF kali ini mudah iaitu memenangi kejuaraan bersama skuad kebangsaan,” katanya.

Tanpa kelibat kebanyakan pemain warisan, Indonesia dilihat gagal untuk menampilkan prestasi terbaik dimana mereka setakat ini hanya mampu mencatat kemenangan 1-0 ketika berdepan Myanmar, seri 3-3 ketika bertemu Laos dan yang terbaru tewas kepada juara edisi 2018 itu.

Pengendali skuad Garuda, Shin Tae-yong tanpa berselindung meluahkan rasa malunya melihat aksi yang ditampilkan pemain Indonesia ketika seri 3-3 bertemu Laos dalam aksi kedua Piala AFF.

“Kedua-dua pasukan sudah berusaha untuk mempamerkan aksi terbaik. Tetapi kami terlalu banyak melakukan kesilapan, terutamanya dalam aspek hantaran hingga membuatkan kami dibolosi banyak gol.”

“Saya sangat kesal dan malu kerana kesilapan yang kami lakukan. Saya memohon maaf kepada peminat Indonesia, terutamanya yang hadir di [Stadion] Manahan,” ujar Shin Tae-yong.