Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang bersama kakaknya dilanggar kereta yang dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun, semalam.

Dalam kejadian di Jalan Kuala Kedah berhampiran stesen minyak di sini, Nur Syafiqah Abdullah, 32, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kakaknya, Nooraliza, 43, cedera.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Memetik laporan Buletin TV3 dua beradik itu peniaga yang beralamat di Kampung Ulu, Kuala Kedah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya dimaklum kemalangan itu pada 7.05 malam dengan motosikal ditunggang mangsa dari arah lampu isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta yang dari arah bertentangan mangsa hilang kawalan, terbabas dan memasuki laluan mangsa sebelum merempuh motosikal mereka.

“Berikutan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng cedera di badan. Ketika kejadian, cuaca hujan dan jalan basah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Syed Basri berkata, pemandu remaja itu hanya luka di hidung dan pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai lesen selain tidak bersekolah.

“Kereta itu pula dipercayai milik rakan ibu remaja itu. Saman dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan remaja bawah umur memandu,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Sumber