Satu lagi tarikan terbaharu untuk para penyokong dan pengunjung apabila Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan pembukaan JDT X-Skate, Ice Ring & Ice Hockey di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Ia bertujuan memberikan aktiviti tambahan kepada orang ramai apabila berkunjung ke stadium tersebut dan mereka berpeluang mencuba sendiri permainan hoki ais serta luncur ais.

Baca Juga:

Menurut kenyataan rasmi JST, waktu beroperasi adalah dari jam 12 tengahari hingga 9 malam pada hari Isnin hingga Khamis, dan 11 pagi hingga 9 malam pada hari Jumaat hingga Ahad.

Untuk hari perlawanan pula akan dibuka dari jam 11 pagi hingga 11 malam.

Langkah ini sejajar dengan hasrat pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu menjadikan stadium ini sebagai kawasan pelancongan dan sentiasa dikunjungi oleh orang ramai.

JDT sentiasa meningkatkan dan menambah baik lagi SSI yang pernah dinobat sebagai ‘World Stadium of the Year’ pada tahun 2020.

Stadium Sultan Ibrahim (SSI) boleh dikategorikan stadium terbaik dimiliki di negara ini dan menjadi lambang kemegahan skuad Harimau Selatan.

Stadium berkapasiti 40,000 penonton itu telah mempunyai empat pilihan francais makanan dan minuman yang terkenal seperti Starbuck, Woodfire Burger, Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Subway.

Selain itu, terdapat juga sebuah kedai cenderahati rasmi, JDT Direct Megastore yang menjual pelbagai barangan rasmi kelab tersebut termasuk jersi pasukan.