Walaupun perang di Asia Selatan kelihatan jauh dari pandangan mata rakyat Malaysia, sebenarnya pergolakan yang sedang berlaku antara India dan Pakistan sekarang boleh memberi kesan yang kepada kehidupan harian kita — lebih-lebih lagi bila sebut pasal nasi.
Baru-baru ini seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini, Menteri Pertanian, Mohamad Sabu mengeluarkan satu kenyataan bahawa jika perang antara dua kuasa nuklear itu semakin memburuk, Malaysia mungkin akan berdepan gangguan bekalan beras.
Ini bukan sekadar andaian kosong kerana hampir 40 peratus daripada jumlah import beras negara datang dari India dan Pakistan.
Perang Bakal Beri Kesan Kepada Malaysia
Dua negara yang kini tengah sibuk berbalas serangan di sempadan Kashmir, sebuah wilayah yang sudah lama menjadi rebutan.
India merupakan pembekal utama beras putih ke Malaysia, jenis beras yang digunakan setiap hari di hampir setiap rumah.
Sementara itu, Pakistan pula ialah sumber utama untuk beras basmati, yang sering menjadi pilihan untuk hidangan-hidangan istimewa seperti nasi briyani, nasi minyak, dan kenduri-kendara.
Kedua-dua jenis beras ini sudah menjadi sebahagian daripada budaya makanan rakyat Malaysia — jadi bila sumbernya terancam, rakyat pun akan terkesan.
Perang Panas India – Pakistan
Konflik kali ini kembali memanas selepas serangan terhadap sekumpulan pelancong di Kashmir yang dikuasai India.
New Delhi mendakwa Islamabad terlibat secara langsung, dakwaan yang kemudian dinafikan oleh Pakistan.
Namun, seperti biasa, ketegangan terus melarat.
India bertindak melancarkan serangan udara, yang dibalas dengan tembakan oleh Pakistan.
Hasilnya, sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dan ramai lagi cedera.
Keadaan ini bukan sahaja memburukkan hubungan dua negara, malah mula mengganggu infrastruktur pelabuhan dan sistem penghantaran kargo — termasuk kargo beras.
Walaupun bekalan beras di Malaysia buat masa ini masih stabil, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memulakan rundingan bersama negara-negara jiran di Asia Tenggara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja.
Langkah ini penting untuk memastikan bekalan tidak putus dan harga kekal stabil, khususnya jika konflik terus berpanjangan.
Tiada siapa yang mahu melihat harga beras naik mendadak atau rak pasar raya kosong — semua orang tahu apa jadi bila rakyat panik beli barang dapur.
Kenapa Malaysia Tidak Hasilkan Beras Sendiri?
Persoalan besar yang mungkin timbul ialah: kenapa Malaysia tak hasilkan cukup beras sendiri? Realitinya, negara kita masih bergantung pada import untuk memenuhi keperluan rakyat yang kini mencecah lebih 34 juta orang.
Usaha meningkatkan pengeluaran tempatan memang sedang giat dijalankan, tetapi untuk capai tahap sara diri sepenuhnya, ia memerlukan masa, teknologi dan dasar yang mantap.
Dalam pada itu, Malaysia perlu kekal bergantung kepada rakan dagang luar untuk elakkan krisis makanan.