Bermula 1 Januari 2025, platform perkhidmatan media sosial yang memiliki sekurang kurangnya 8 juta pengguna di negara Malaysia, perlu untuk memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Ianya selepas pengenalan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini.
Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa perlaksanaan dasar baharu ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet di negara ini, mesti mematuhi undang-undang Malaysia.
Langkah ini dianggap langkah terbaik untuk menjadikan media sosial selamat daripada gejala buli siber dan jenayah seksual kanak kanak yang semakin membimbangkan.
MCMC dalam kenyataan medianya berkata: “Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan bahawa satu kerangka kawal selia baharu akan diperkenal pada 1 Ogos 2024 dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.
“Ini selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial (social media services) dan perkhidmatan pesanan Internet (Internet messaging services) mesti mematuhi undang-undang Malaysia, demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Menerusi kerangka baharu ini, semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.
“Sebelum ini, platform-platform tersebut telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.”
KENYATAAN MEDIA
KERANGKA KAWAL SELIA BAHARU DEMI INTERNET LEBIH SELAMAT UNTUK KANAK-KANAK DAN KELUARGA#MCMC pic.twitter.com/s5MN7U89fa
— MCMC (@MCMC_RASMI) July 27, 2024