Siapa sangka dahulunya seorang pemuda dari Indonesia yang hanya merantau ke sini untuk menimba ilmu kini sudah berubah menjadi orang berjaya di negaranya selepas dua abad kemudian.
Baru-baru ini, seorang lelaki yang dikenali sebagai Thoriqul Haq bersama pasangannya telah merakam saat beliau pergi melawat tempat kerjanya lama yang berada di Kajang, Malaysia.
Difahamkan beliau pernah bekerja di restoran medan sate yang dikenali sebagai Sate Emas Kajang sewaktu masih melanjutkan pengajian Master di universiti tempatan pada tahun 2001 dan masih mengingati lokasinya dengan jelas.
Beliau memaklumkan telah bekerja selama setahun bagi membiayai kos seharian sewaktu belajar di sini.
Sebaik tiba di situ, beliau langsung menceritakan serba sedikit pengalaman bekerja dengan pemilik asal dan turut membuat pesanan makanan yang pernah dikendalikannya pada suatu ketika dahulu.
“Dulu saya kerja di sini, jadi benar ini restoran Sate Emas Kajang pemiliknya Mohd Rizal B. Mahful. Dulu sewaktu saya kerja di sini, masih Haji Mahful, ya sekitar tahun 2001.
“Sekitar setahun saya kerja di sini, dan saya sekarang balik ke sini beli satenya, merasakan satenya,” kongsinya sambil mengimbau kenangan di situ.
Thoriqul Haq kemudian beramah mesra dengan seorang wanita berusia yang sedang menjaga kaunter dan bertanyakan soalan berkaitan keadaan semasa pemilik kedai dan pekerjanya.
Menariknya, walaupun sudah lebih 23 tahun meninggalkan tempat kerja itu, beliau masih mengingati bukan sahaja pemilik asal malahan pekerja senior yang pernah bertugas dengannya.
Penjaga kaunter itu turut memanggil lelaki itu untuk bertemu dengan pekerja senior yang dikenali sebagai Idris pada ketika itu.
Setelah dikaji selidik, lelaki bernama Thoriqul Haq bukanlah orang yang biasa-biasa kerana beliau kini memiliki PHD malahan sudah menjadi orang penting dalam dunia politik di Indonesia.
Sebelum ini, beliau juga pernah menjadi Datuk Bandar untuk Lumajang iaitu sebuah daerah yang terletak di Provinsi Jawa Timur, Indonesia.
Dalam pada itu, kelihatan riak wajah beliau yang sangat gembira melihat tempat kerjanya masih berdiri teguh dan meluahkan rasa syukur dapat mencari rezeki sewaktu berada di Malaysia.
Beliau sempat memuji rasa sate yang dibelinya dan mengatakan rasanya masih kekal sama seperti yang pernah dirasainya pada 20 tahun lalu. Masih terasa manis sebaik dimakan sate itu.
@cakthoriqofficial CERITANYA, saya dulu waktu kuliah S2 di Malaysia, pernah bekerja sebagai pelayan warung sate pada tahun 2001, sekitar satu tahun, untuk biaya kiliah. Nama warungnya SATE EMAS KAJANG miliknya Pak Cik Haji Mahful. Ternyata, warungnya masih ada, dan tidak berubah, rasa satenya juga masih sama kayak dulu, gurih manis.
Meninjau ke ruangan komentar, ramai netizen tempatan yang meluahkan rasa bangga melihat bagaimana pengembaraan seorang perantau dari Indonesia yang dahulunya sebagai pelayan sate di restoran kini sudah bergelar Datuk Bandar di samping menjadi orang penting politik di sana.


Selain itu, ramai menyambut baik kedatangan beliau yang bertandang ke sini di samping memuji akan sikap beliau yang tidak melupakan tempat yang pernah berbakti sewaktu pengajian di Malaysia.