Seorang pesara berusia 62 Tahun kehilangan sebanyak RM2.3 Juta selepas beliau terpesaya dengan pelaburan yang tidak wujud.
Baru-baru ini, pesara itu membuat laporan polis dimana mendakwa bahawa dia telah kerugian RM2.33 juta selepas melabur dalam apa yang ternyata skim saham yang tidak wujud.
Baca Juga:
- Ferdy Druijf Buat Pengakuan, Malaysia Sekali Lagi Jadi Mangsa ‘Scam’?
- Mak Cik Kena ‘Scam’ Sindiket Chipsmore Balang
- ‘Saya Filipina-Malaysia’ – Ulat Gambar KLCC ‘Scam’ Pelancong, Mengaku Orang Tempatan
Menurut Ketua Polis Johor, Komisaris Datuk M. Kumar, mangsa didatangi individu tidak dikenali yang menambahnya ke dalam kumpulan WhatsApp yang mempromosikan pelaburan itu.
“Nombor telefon mangsa telah dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp dan dia diberikan laman web yang dipautkan di mana dia boleh memantau keuntungan dan menguruskan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pesara Dijanjikan Pulangan Lumayan, Tetapi Hampa
Menurut laporan oleh The Star, mangsa kemudian diberi akses ke satu laman web di mana dia kononnya boleh memantau keuntungannya dan menguruskan dananya.
Mangsa tertarik dengan janji pulangan besar-besaran sehingga AS$8 juta (RM32.2 juta) dan meneruskan pemindahan dana dalam empat transaksi berbeza antara 27 November 2024 dan 4 Mac 2025.
Wang itu dihantar ke empat akaun bank tempatan yang berbeza, tetapi bukannya menerima sebarang pulangan, dia akhirnya kehilangan segala-galanya.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang dikaitkan dengan penipuan dan mendorong penyerahan harta secara tidak jujur.
Datuk M. Kumar menggesa orang ramai untuk terus berwaspada dan mengelakkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tidak realistik.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan besar dan menasihatkan mereka supaya menyemak dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti untuk mengesahkan sama ada pelaburan yang ditawarkan itu berlesen dan mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Juga dapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi jenayah komersial melalui Facebook, Instagram dan Tik Tok Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,” kata Datuk M. Kumar.