Malaysia mengesahkan tempat ke final acara Quadrant Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 selepas berjaya menundukkan Korea Selatan 2-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Skuad negara yang menyandarkan harapan kepada Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Norfaizzul Abd Razak bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah terutamanya pada set pertama.

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan dengan saingan sengit diberikan Korea Selatan terutamanya menerusi libasan gulung padu Lee Jun Wook dan Seon Woo Young Su.

Ketika kedua-dua pasukan saling kejar mengejar mata dan terikat 6-6, Afifuddin cemerlang dengan dua ‘blocking’ berturut-turut untuk memberikan kelebihan dua mata buat Malaysia.

Quadrant
Norfaizzul (jersi 9) beraksi cukup cemerlang. Kredit foto: World of Sepaktakraw

Kelebihan itu digunakan dengan baik barisan pemain negara untuk mengekalkan konsistensi bagi meraih kemenangan dengan jurang mata 15-13.

Permulaan set kedua menyaksikan keyakinan gandingan negara kian memuncak apabila mendahului lawan dengan 5-0.

Walaupun Korea Selatan cuba untuk bangkit, anak-anak buah Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif tidak memandang ke belakang lagi untuk mengesahkan kemenangan dengan mata 15-8.

Jepun Jadi Lawan Final Quadrant

Menanti mereka di pentas final acara Quadrant pada jam 8.00 malam ini ialah Jepun yang mengejutkan Vietnam juga menerusi aksi ‘straight set’.

Jam 2.00 petang nanti, skuad Double Malaysia akan beraksi menentang India pada aksi separuh akhir.