32 pasukan yang menyertai Piala Dunia Kelab FIFA 2025 bukan sahaja bakal merebut kejuaraan bagi format baharu malah ditawarkan hadiah wang tunai lumayan.

Difahamkan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menawarkan hadiah wang tunai bernilai kira-kira $1 bilion pada kejohanan kali ini.

Baca Juga:

Ia sekali gus menjadi rekod pemberian hadiah termahal dalam sejarah penganjuran bola sepak dimana turut lebih tinggi berbanding Piala Dunia Lelaki dan Wanita.

Piala Dunia Kelab
Kredit Foto: REUTERS/Brian Snyder

Butiran mengenai bagaimana FIFA merancang untuk memberikan pecahan hadiah dalam pertandingan ini masih belum diumumkan, tetapi mereka dikhabarkan telah mendapatkan tajaan besar dan perjanjian penyiaran dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut sumber laporan Goal, perkhidmatan penstriman yang berpusat di London, DAZN, telah memperoleh hak penyiaran eksklusif global untuk pertandingan tersebut pada bulan Disember lalu dengan kontrak yang dilaporkan bernilai sekitar $1 bilion.

24 daripada 63 perlawanan Piala Dunia Kelab FIFA di Amerika Syarikat juga akan disiarkan oleh TNT Sports, dengan kelab-kelab seperti Inter Miami dan Paris Saint-Germain diberi sorotan untuk penonton Amerika.

FIFA juga telah memperoleh perjanjian tajaan dengan jenama-jenama besar seperti Coca-Cola, Bank of America, syarikat elektronik China iaitu Hisense dan pembuat bir Belgium, AB InBev.

Piala Dunia Kelab FIFA 2025 Yang Mewah

Hadiah wang akan dibahagikan antara yuran penyertaan dan ganjaran berdasarkan prestasi. $575 juta akan diperuntukkan untuk elaun penyertaan, manakala $465 juta akan melibatkan prestasi pasukan dalam pertandingan tersebut.

Walau bagaimanapun, yuran penyertaan tidak akan dibahagikan secara sama rata antara semua kelab. Sebaliknya, dana akan diagihkan melalui konfederasi, dengan pengiktirafan bahawa pembayaran yang sama akan memberi kesan persaingan yang berbeza di seluruh dunia.

Piala Dunia Kelab
Kredit Foto: REUTERS/Jean Bizimana

Sebagai contoh, Manchester City dan Chelsea akan menerima bayaran penyertaan sebanyak $60 hingga 90 juta.

12 lokasi di 11 bandar berbeza di Amerika Syarikat akan terlibat dengan penganjuran Piala Dunia Kelab FIFA pada 14 Jun hingga 13 Julai nanti.

Perlawanan akhir akan diadakan di Stadium MetLife di New Jersey, yang juga akan menjadi tempat perlawanan akhir Piala Dunia 2026.

Sumber