Ketua pasukan Buriram United, Theerathon Bunmathan dikenakan hukuman oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas memicit kemaluan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman dalam satu perlawanan AFC Champions League (ACL) Elite pada tahun lalu.

Kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ibrahim pada Disember lalu yang mana perlawanan tersebut berkesudahan dengan seri tanpa jaringan meskipun diwarnai dengan beberapa peluang keemasa yang dimiliki Buriram dan JDT.

Baca Juga:

Dalam perlawanan tersebut, pengadil melayangkan tiga kad merah dimana satu bagi Theerathon dan dua lagi dilayangkan kepada Murillo dan Park Jun-heong.

Kad merah yang dilayangkan terhadap Theerathon Bunmathan nyata menjadi bualan peminat di laman media sosial dimana beliau bertindak memicit alat kemaluan Arif Aiman.

Selepas semakan dibuat melalui Video Assistance Referee (VAR), kapten Buriram itu serta-merta diarah untuk keluar padang oleh pengadil.

AFC kemudiannya menghukum pemain berusia 33 tahun itu dimana beliau didenda $2,000 dan digantung tiga perlawanan di peringkat Asia.

Tindakan Theerathon dianggap tidak menyokong semangat kesukanan dan didenda yang dikenakan dianggap sebagai satu amaran kepada pemain lain agar tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Sebelum ini, pemain yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan skuad Gajah Perang itu meminta maaf ekoran tindakanya memicit kemaluan Arif dalam perlawanan tersebut.

“Daripada insiden yang berlaku dalam perlawanan baru-baru ini, saya ingin memohon maaf atas tindakan saya yang tidak sepatutnya. Saya amat kesal dan amat kecewa dengan diri saya sendiri kerana tidak dapat mengawal emosi saya. Ia tidak sepatutnya berlaku.

“Saya dengan tulus memohon maaf kepada presiden Buriram United, kepada jurulatih, rakan sepasukan saya, dan peminat Buriram, serta semua peminat yang menyokong saya.

“Saya nak minta maaf. Saya tidak tahu apa lagi yang perlu saya katakan selain meminta maaf. Saya berasa amat kesal dengan tindakan saya kali ini, yang tidak boleh diterima dan bukan contoh yang baik untuk orang muda.

“Saya meminta generasi muda yang memandang tinggi kepada saya sebagai contoh untuk belajar daripada kesilapan saya dan mengambil hanya aspek positif daripada apa yang saya lakukan untuk memberi manfaat kepada diri mereka sendiri,”