Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sedia mempertimbangkan permintaan FA Bahrain yang mahu aksi menentang Indonesia pada Mac tahun hadapan dilangsungkan di venue berkecuali.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan badan itu baru-baru ini, mereka mengambil serius sebarang kerisauan ahlinya dan bakal mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit bagi menyelesaikan isu yang ada.

Baca Juga:

“AFC telah dimaklumkan mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh Persatuan Bola Sepak Bahrain (BFA) mengenai keselamatan dan keselamatan pasukan kebangsaan mereka menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 Kumpulan C menentang Indonesia yang dijadualkan pada 25 Mac 2025.

“AFC memandang serius kebimbangan ini dan komited sepenuhnya untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pemain, pegawai dan peminat, sambil mengecam semua bentuk penyalahgunaan dan ancaman dalam talian.

“AFC akan membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut dengan FIFA, Bahrain FA, dan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan terjamin untuk semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam perlawanan itu,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan.

Bagi peminat Indonesia, mereka sukar menerima kenyataan ini dimana ianya dianggap sebagai pilih kasih kerana badan bola sepak Asia itu menolak bantahan yang dihantar oleh PSSI sebelum ini.

PSSI menghantar bantahan mengenai prestasi pengadil ketika perlawanan di Stadium Nasional, Rifa iaitu Ahmed Al-Kaf yang dianggap kurang memuaskan sehingga menyebabkan mereka kehilangan dua mata.

Namun, AFC menolak bantahan ini dimana mereka menganggap Al-Kaf menampilkan prestasi yang baik sepanjang mengendalikan perlawanan tersebut.

PSSI menerusi salah seorang Exco iaitu Arya Sinulingga telah memberi maklum balas mengenai permintaan yang diajukan oleh FA Bahrain.

“Pertama kita akan hantar surat ke AFC yang menyatakan mahu perlawanan tersebut kekal berlangsung di Jakarta, kerana sebelum ini kami beraksi di Rifa.

“Kedua, kita akan memastikan keselamatan dan keselesaan tetamu kita iaitu Bahrain kerana kita sebagai rakyat Indonesia adalah bangsa yang ramah terhadap tetamu.

“Kemudian mengenai apa yang berlaku di media sosial, rakyat negara ini kadang-kadang banyak komen tetapi mereka sebenarnya baik. Kita memang terkenal sebagai bangsa yang ramah. Kita sudah membuktikan ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia B-17 Tahun yang mana kejohanan itu berlangsung dengan sempurna,” katanya.