Tular di media sosial mengenai tindakan seorang lelaki membawa masuk senjata tajam yang didakwa kerambit ketika perlawanan bola sepak di Padang KLFA, Desa Melati, semalam.

Kejadian tersebut kini sudah sampai kepada pengetahuan pihak polis dan mereka sedang mengesan suspek yang beraksi bersama sebuah pasukan amatur sekitar lembah klang.

Baca Juga:

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail menurut laporan Berita Harian. 

“Pengadu yang terbabit dalam perlawanan berkenaan mendakwa mengesan pasukan lawan membawa masuk senjata tajam ke dalam padang.

“Suspek dikatakan mengacukannya kepada seorang pemain daripada pasukan pengadu,” katanya kepada media hari ini.

Mohamad Lazim berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Bagaimanapun tiada mana-mana individu dilaporkan tercedera dalam perlawanan berkenaan.

“Pada masa ini usaha mengesan suspek yang terbabit sedang dilakukan bagi siasatan lanjut melalui pengecaman yang sedang dijalankan,” katanya.

Menurut perkongsian pengguna laman Facebook iaitu Aliff Akhmal, pemain yang membawa senjata tajam itu dipercayai beraksi untuk pasukan Farouk FT.

Netizen mengecam tindakan pemain itu dimana ramai yang menganggap kejadian ini sebagai gila dan tidak masuk akal.

“Nak main bola atau bunuh orang?,” kata salah seorang pengguna di laman facebook.

Sebelum ini, jarang berlaku kejadian mana-mana pemain bola sepak yang membawa senjata tajam ke perlawanan bola sepak terutamanya di peringkat amatur.