Semalam tular satu klip video memaparkan tiga orang penunggang motosikal berkuasa tinggi tergelincir di selekoh lebuhraya.
Pada awal video berkenaan ketika pemilik video @aasyrafs mahu melalui kawasan selekoh, tiba-tiba sebuah superbike di hadapannya tergelincir, lalu terbabas ke tepi jalan.
Ketika dia memberhentikan motosikal untuk memberikan bantuan, ada sebuah lagi motosikal jatuh tergelincir di selekoh sama.
Apabila dia cuba mendekati mangsa yang pertama, sebuah lagi penunggang terjatuh terbabas sehingga motosikalnya mengeluarkan percikan api.
Memetik Berita Harian, Polis Bentong sedang mengesan dua daripada tiga penunggang motosikal berkuasa tinggi yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur, dekat Bentong, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sedang mengesan penunggang terbabit untuk tampil membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku jam 9.45 pagi tadi apabila motosikal terbabit hilang kawalan, tergelincir dan terbabas ke longkang di bahu kiri jalan.
“Seorang penunggang yang dapat dikesan memaklumkan cedera di kaki kanan, manakala dua lagi belum dapat dihubungi.
“Pihak polis sudah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian itu untuk tampil tampil membantu siasatan.
Pada masa sama katanya lagi, Polis Bentong akan menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan lokasi dan laluan berkenaan tidak sesekali dijadikan seperti litar lumba oleh pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab