Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar menyatakan pihak polis menyiasat penganjuran perlumbaan basikal lajak yang dijadualkan di Damansara Damai di sini, esok.
Memetik Buletin TV3, ada satu video promosi perlumbaan tersebut di TikTok telah dikesan oleh pihaknya semalam.
Baca Juga:
- Ekoran Kayuh Secara Berbahaya, Lelaki Denda Budak Basikal Lajak Naik ‘Podium’
- Sam Ke Ting Bebas Tuduhan Punca Kematian 8 Remaja Basikal Lajak
- Wanita ‘Insiden Basikal Lajak’ Dibenarkan Tangguh Hukuman Dengan Ikat Jamin RM10,000
“Siasatan mendapati video berdurasi 29 saat itu memaparkan aksi sekumpulan remaja menunggang basikal lajak di jalan raya berserta maklumat berkaitan penganjuran perlumbaan basikal lajak yang akan diadakan di Damansara Damai pada 24 Mei.
“Berikutan itu satu laporan dibuat dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mengadakan pertandingan membabitkan kenderaan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulnizam berkata, polis mengesan pihak penganjur perlumbaan terbabit untuk siasatan lanjut.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penganjuran itu supaya menyalurkannya kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.