Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail mengesahkan seorang pemain bola sepak amatur yang dipercayai membawa objek tajam iaitu kerambit kini telah ditahan.

Menurut laporan Berita Harian, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan bersama teman wanitanya berusia 21 tahun.

Baca Juga:

Penahanan dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sebuah rumah di Klang, Selangor, pada jam 6.30 petang.

“Hasil siasatan, suspek mengaku mengeluarkan senjata tajam iaitu kerambit bagi mempertahankan diri dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” kata Mohamad Lazim dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek lelaki direman empat hari bermula hari ini sehingga 12 Ogos ini, manakala teman wanitanya ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigeresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai tindakan seorang lelaki membawa masuk senjata tajam yang didakwa kerambit ketika perlawanan bola sepak di Padang KLFA, Desa Melati.

Menurut perkongsian pengguna laman Facebook iaitu Aliff Akhmal, pemain yang membawa senjata tajam itu dipercayai beraksi untuk pasukan Farouk FT.

Netizen mengecam tindakan pemain itu dimana ramai yang menganggap kejadian ini sebagai gila dan tidak masuk akal.

“Nak main bola atau bunuh orang?,” kata salah seorang pengguna di laman facebook.

Sebelum ini, jarang berlaku kejadian mana-mana pemain bola sepak yang membawa senjata tajam ke perlawanan bola sepak terutamanya di peringkat amatur.