Pihak polis menahan pemandu lori yang telah menyebabkan seorang penunggang motosikal maut dan seorang pemandu kereta cedera di Jalan Kerinchi dari arah Jalan Pantai Dalam menghala ke Jalan Pantai Baru, di sini.

Memetik Berita Harian, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 8.34 pagi, dengan kemalangan membabitkan motosikal, lori dan kereta.

Baca Juga:

“Pemandu lori iaitu lelaki berusia 32 tahun berada dalam kawasan tapak pembinaan bersama lori dipandunya untuk mengisi minyak brek.

“Ketika proses mengisi minyak brek, tiba-tiba lori mengundur sendiri, lalu melanggar pagar pintu keselamatan dan masuk ke jalan utama serta melanggar motosikal ditunggang lelaki berusia 32 tahun.

“Mangsa terjatuh dan terperosok di tayar belakang sebelah kanan lori itu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Difahamkan lori berkenaan juga menyebabkan seorang pemandu luka di dahi selepas melanggar kereta di laluan bersebelahan.

“Pemandu lori sudah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.

Sumber