Motosikal seorang anggota polis trafik dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, disaman selepas diletakkan di tempat letak kenderaan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Terdahulu tular satu video dan gambar menerusi aplikasi Twitter yang menunjukkan motosikal jenis Honda ST 1300, dikunci oleh seorang pengawal keselamatan sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, sekitar jam 11.30 pagi Isnin lalu.
Baca Juga:
- PDRM Nafi Mercedes Miliki 397 Saman Tertunggak Bernilai Lebih RM100,000
- Sindiket Penipuan ‘Online’ Guna Fail APK Berjaya Ditumpaskan Oleh Pihak PDRM
- Penyiasat Australia Bersama SPRM Berjaya Tumpaskan Antara Sindiket ‘Scammer’ Terbesar Dunia
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, telah mengeluarkan saman terhadap anggota yang menunggang motosikal berkenaan.
“Polis Daerah Petaling Jaya, telah mengesan satu gambar yang tular itu yang dimuat naik oleh pemilik akaun @nanmanjoi8715 dalam akaun Twitter miliknya, sebelum siasatan lanjut dijalankan.
“Pihak polis ingin mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar mematuhi arah papan tanda jalan,” katanya kepada Berita Harian.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya termasuk agensi penguat kuasa yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang.
Menerusi video dan gambar yang tular, anggota polis terbabit menunggu motosikalnya yang dikunci dibuka oleh seorang pengawal keselamatan kawasan kediaman berkenaan.
Anggota polis trafik terbabit kemudian beredar selepas kunci motosikalnya dibuka.