Netizen tersentuh hati dengan perkongsian seorang guru tentang kisah seorang murid yang hampir dibuang sekolah berjaya mendapatkan A- dalam subjek Landskap dan Nurseri dalam SPM.
Namun apa yang menyedihkan, gurunya tidak sempat untuk mengucapkan tahniah kepadanya, kerana pelajar itu sudah pergi buat selamanya pada Isnin lalu.

Netizen tersentuh hati membaca perkongsian daripada guru yang mengajarnya. Dia seorang murid yang agak bergelut dengan pelajarannya.
Namun dia seorang murid yang baik dan lurus, menurut gurunya. Ketika di tingkatan 4, dia hampir dibuang sekolah kerana kerap ponteng. Dan ianya berlaku mungkin kerana pelajar tersebut sukar untuk bersaing dengan pelajar lain.
Tetapi guru kaunseling dan GPK Hem telah membantu pelajar tersebut untuk kembali semula bersekolah.
Pelajar tersebut kemudian menunjukkan kegigihan dan berusaha dalam subjek Landskap dan Nurseri yang lebih teknikal. Dan dia berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam subjek tersebut dalam SPM.
Pernah hampir dibuang sekolah
Guru bernama Muslim Ismail berkongsi di Facebook: “Murid ini waktu tingkatan 4, hampir dibuang kerana sangat kerap ponteng, atas usaha GPK Hem dan kaunselor, dia datang semula ke sekolah.
“Seorang murid baik dan lurus, tiada masalah disiplin, cuma kerap tidak hadir ke sekolah.
“Mungkin dunia persekolahan tidak mesra padanya, bidang akademik yang penuh persaingan dan perbandingan mungkin menyebabkan dia menjauh disebabkan kelemahannya untuk memahami dan mengingat.
“Tapi dia suka menyanyi. Aku masukkan dia dalam kumpulan puisi dan lagu sekolah. Kami tak menang, tapi dia mula suka ke sekolah, mungkin sebab rasa dihargai.
“Mungkin itu juga menjadi antara memori terbaiknya di alam persekolahan.
“Dalam subjek landskap yang aku ajar, dia tak pernah lulus pun peperiksaan, tapi dia rajin dan ringan tulang menyiapkan tugasan.
Dapat A- dalam SPM
“Walaupun tidak sempurna, tetapi dia berusaha. Aku tak marah pun sebab aku tau kelemahannya, dan kadang-kala bila dia ditinggalkan bas selepas tuisyen petang, waktu aku hantar pulang, sempat juga aku titip kata-kata.
“Hari ini dia dapat A-.
“Tapi aku tak dapat jumpa dia untuk ucap tahniah. Dia dah pergi isnin lepas kerana jangkitan kuman selepas pembedahan apendiks.
“Awak tak banyak dosa, nanti tolong saya kalau saya di sebelah satu lagi. Pinta pada Tuhan supaya saya diampunkan.”
Netizen tersentuh hati
Membaca perkongsian tersebut, netizen tersentuh hati dengan kisah tersebut.
Mereka turut memuji guru tersebut yang berjaya membantu pelajarnya untuk berjaya dalam subjek diajarnya.
Ada juga yang akui sedih memikirkan pelajar tersebut tak sempat untuk melihat kejayaannya dalam subjek tersebut pada slip keputusan SPM dia.