Bekas kelab yang pernah diperkuatkan oleh Safawi Rasid iaitu Portimonense mengumumkan salah seorang pemain mereka mendapat panggilan dari skuad kebangsaan Malaysia.

Dalam satu pengumuman di laman media sosial Instagram baru-baru ini, kelab itu mengumumkan barisan pemain yang mendapat panggilan dari skuad kebangsaan masing-masing.

Baca Juga:

Seorang Pemain Portimonense Ada Darah Malaysia

Salah seorang pemain iaitu Hector Hevel menjadi tumpuan selepas pihak kelab mengumumkan beliau mendapat panggilan dari skuad Harimau Malaya.

Perkara ini dianggap mengejutkan dimana sebelum ini tiada sebarang informasi atau khabar angin mengenai pemain tersebut.

Hevel merupakan pemain tengah berusia 29 tahun yang mana beliau dilahirkan di Leidschendam, Belanda.

Portimonense
Hector Hevel

Sebelum menyertai Portimonense pada awal musim ini, Hevel pernah beraksi bersama beberapa kelab seperti AEK Larnaca, Andorra, Cartagena dan Guangxi Pingguo dalam saingan Liga China.

Sepanjang kariernya, Hevel belum pernah beraksi dengan mana-mana pasukan kebangsaan sama ada di peringkat bawah umur ataupun senior.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang pengesahan atau makluman dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ataupun CEO skuad kebangsaan, Rob Friend mengenai Hector Hevel.

Menurut Peter Cklamovski, pemain warisan berkemungkinan besar akan menyertai kem latihan pusat menjelang kelayakan Piala Asia 2027 minggu hadapan.

“Proses untuk pemain warisan baharu di peringkat akhir, saya rasa berita yang positif akan diumumkan pada minggu depan. Siapa pun yang bermain di atas padang, mereka adalah pemain Malaysia.

“Saya difahamkan kertas kerja di peringkat akhir dan mungkin pasukan kebangsaan akan membuat pengumuman mungkin minggu depan,” katanya yang akan memulakan kem latihan pusat pertama pada Isnin ini.

Portimonense
Sumber Gambar: IG Jon Irazabal

Sebelum ini, pemain Sabah FK iaitu Jon Irazabal dilaporkan menjadi salah seorang pemain warisan yang akan menyertai kem latihan pusat menjelang kelayakan Piala Asia 2027.