Dalam menarik minat pelajar untuk kekal bersemangat ke kelas dan belajar adalah dengan menyediakan persekitaran yang kondusif.
Selain itu, dengan menggabungkan dekorasi elemen karakter atau filem yang diminati oleh pelajar juga dapat menarik minat mereka untuk ke sekolah lagi-lagi untuk peringkat sekolah rendah.
Oleh itu, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Semerah Padi di Kuching, Sarawak mengambil inisiatif bukan sahaja mencantikkan bilik darjah malah sedia mereka poster yang unik buat anak muridnya.
Menerusi video yang dikongsikan baru-baru ini, kelihatan satu poster yang memperlihatkan sosok pelajarnya yang disunting menjadi watak di dalam siri Netflix terkenal iaitu Squid Game.
Poster yang diletakkan di luar kelas itu dipercayai dapat menggembirakan hati muridnya setiap kali melalui kawasan kelas mereka.

Difahamkan dia hanya menggunakan Canva sahaja dan mengajak guru lain untuk mencubanya kerana mudah dilakukan.
Untuk makluman, “Squid Game” ialah siri televisyen Korea Selatan yang mengisahkan tentang sekumpulan orang yang terdesak dan berhutang besar. Mereka dijemput untuk menyertai permainan misteri dengan hadiah wang tunai yang lumayan.
Bagaimanapun, wujud sejumlah keganasan yang dipamerkan di dalam babak episod memandangkan semua bermati-matian mahu mendapatkan hadiah lumayan yang ditawarkan.
Bagaimanapun, niat murni guru itu menerima pelbagai reaksi dari netizen selepas videonya tular di platform Facebook.
Menjengah ke ruangan komentar, sebahagian netizen meluahkan rasa tidak puas hati kerana mengetahui siri Squid Game mempunyai unsur negatif seperti keganasan berlebihan sekaligus tidak mencerminkan nilai murni yang sepatutnya diterapkan di dalam murid-murid berkenaan.
Ramai merasakan cerita Squid Game juga hanya tontonan dewasa sekaligus tidak sesuai untuk dijadikan tema pilihan dalam pembikinan poster tersebut biarpun diminati oleh murid.


Sebahagian lain pula, melihat ia sebagai sesuatu yang unik dan kreatif dalam menceriakan mood murid dalam masa memberikan ‘kelainan’ kepada kelas tersebut.
Ekoran menerima sejumlah komen yang pedas, guru tersebut tampil memberi maklum balas mengenai isu tersebut dan bagaimana pemilihan tema itu dibuat olehnya.
“Tq semua yang respon. sy Fhm akan kerisauan semua. Saya hanya ambil inspirasi pada pakaian sbb reka bentuknya yang dikenali mrka, bukan isi kandungan cerita.
“Nilai dan pengajaran yang baik,saya tetap dan mmg jadikan keutamaan dalam mendidik mereka. sebab itulah saya selitkan Beradab dan berilmu di situ,” balasnya di komen.
Dia juga mendedahkan telah membeli satu baju kostum ahli Squid Game itu lalu bergilir-gilir mengambil gambar untuk pembikinan poster itu.