Seorang pemengaruh media sosial, Amad Zahry, baru-baru ini berkongsi detik hitam apabila rumahnya dijilat api selepas powerbank yang disimpan di rumahnya meletup, menyebabkan kebakaran besar yang meranapkan sebahagian besar kediamannya.

Dalam satu kisah yang dikongsikan Amad menerusi sebuah video TikTok kini tular di kalangan netizen dan ramai yang bersimpati atas apa yang terjadi.

Dalam video yang dikongsikan, Amad merakam bagaimana tingkat atas rumahnya terbakar dijilat api.

@amadzahry

Replying to @INDONESIA 1945

♬ original sound – Amad | Digital Creator – Amad | Digital Creator

Kelihatan juga pasukan bomba yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di bahagian atas rumahnya.

Menurut kapsyen yang disertakan dalam video tersebut, punca kebakaran adalah disebabkan oleh powerbank.

Difahamkan bahawa Amad cuba untuk memadam api tersebut sebelum ia merebak, namun usahanya terhalang kerana asap tebal yang cepat memenuhi ruang.

Walaupun terkejut, beliau bernasib baik kerana sempat menyelamatkan telefon bimbitnya dan segera menghubungi pasukan bomba.

Lebih penting lagi, tiada nyawa terkorban dalam insiden tersebut.

Keesokan harinya, Amad kembali ke rumah untuk menilai kerosakan yang berlaku serta melihat jika ada barang-barang yang masih boleh diselamatkan.

@amadzahry

♬ original sound – Amad | Digital Creator – Amad | Digital Creator

Dalam salah satu video yang memaparkan kesan selepas kebakaran, kelihatan sebuah kerusi permainan (gaming chair) di bilik studio Amad musnah sama sekali, manakala lantai dipenuhi dengan serpihan-serpihan kesan terbakar.

Rakaman kamera kemudian merekod ke arah bumbung yang turut musnah, di mana kipas siling tergantung rapuh mahu jatuh.

Meskipun kerosakan yang dialami agak teruk, Amad mendapati beberapa peranti elektronik yang disimpan dalam rak masih tidak disentuh api.

Lebih mengejutkan, beberapa helaian al-Quran juga selamat daripada dijilat api.

Menurut Amad, jumlah kerugian yang ditanggung akibat kebakaran tersebut dianggarkan mencecah RM20,000.

Di ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib malang yang menimpanya.

Ada yang memberikan kata-kata semangat serta doa agar dia terus tabah menghadapi dugaan ini.

Salah seorang pengguna media sosial turut menawarkan bantuan peribadi, meminta Amad untuk menghubunginya secara langsung jika memerlukan pertolongan.

Selain itu, ada juga netizen yang mengambil tindakan membuang powerbank lama yang tidak digunakan selepas menonton video tersebut.

Mereka bimbang jika insiden sama berlaku di rumah mereka.