Kerajaan Indonesia nampaknya serius dalam memastikan skuad kebangsaan negara itu mampu untuk menampilkan prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa dimana mereka memberikan dana yang besar kepada Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI).

Menerusi perkongsian Ketua Umum badan itu iaitu Erick Thohir, Presiden Indonesia iaitu Prabowo Subianto telah menyalurkan dana sebesar 227 Bilion Rupiah atau sekitar RM77 Juta bagi tujuan pembangunan selain memastikan pasukan itu terus menampilkan prestasi cemerlang.

Baca Juga:

“Presiden Prabowo secara khusus memaklumkan kepada saya bahawa bajet yang diberikan kerajaan untuk program PSSI sedia untuk dicairkan mulai Januari 2025. Menteri Belia dan Sukan juga mengesahkan bahawa dana itu sudah sedia.

“Secara peribadi, saya amat gembira dengan dana yang kami terima,” kata Erick dalam satu kenyataan bertulis pada Selasa.

Walaupun semua program PSSI tidak bergantung kepada dana kerajaan, beliau menegaskan bahawa dana yang diberikan merupakan sokongan yang tidak ternilai dan membuktikan penghargaan terhadap tahap prestasi yang sudah dicapai oleh bola sepak negara itu di pelbagai peringkat umur.

Selain sokongan kerajaan, PSSI telah menjalin kerjasama dengan 25 entiti dari sektor swasta yang kini berkhidmat sebagai rakan PSSI. Kerjasama antara sektor swasta ini telah menjana kira-kira 400 Bilion Rupiah dalam pembiayaan.

Erick mengumumkan, dengan gabungan bajet daripada sektor kerajaan dan swasta, PSSI akan memulakan pelaksanaan program baharu pada Januari 2025 untuk meningkatkan lagi prestasi.

Program-program ini termasuk kem latihan jangka panjang untuk skuad kebangsaan wanita negara itu bagi mempersiapkan mereka menghadapi Kejohanan Wanita AFF, kejohanan yang sangat kompetitif yang menampilkan pasukan seperti Thailand dan Vietnam. Tambahan pula, persiapan untuk pasukan kebangsaan B-17 dan B-20 yang akan bersaing dalam Piala Asia 2025 akan dipergiatkan.