Presiden La Liga, Javier Tebas tanpa berselindung mengkritik Real Madrid berhubung aduan mereka mengenai mutu pengadilan pada awal bulan ini.
Selain itu, beliau turut memberikan gelaran kepada skuad Los Blancos tersebut sebagai ‘kelab lembik’ atau lebih tepat lagi (Crying Club).
Baca Juga:
- Real Madrid Mahu Keluar Dari La Liga, Ini Alasannya
- Presiden LaLiga: Kehadiran Mbappe Bukan Jaminan Real Madrid Bakal Dominasi Semua Pertandingan
- Presiden LaLiga Tak Bimbang Dengan Masalah Kewangan Barcelona
Cuba memberikan tekanan kepada pengadil sebelum perlawanan telah menjadi satu tradisi pra-perlawanan di Real Madrid sepanjang musim lalu.
Hal ini kerana saluran rasmi mereka, Real Madrid TV, sering menyorot sebarang keputusan yang tidak memihak kepada kelab mereka untuk mengkritik pengadil bagi perlawanan yang akan datang.
Namun, detik terburuk mereka berlaku sepanjang bulan lalu dimana perlawanan liga melibatkan Osasuna yang berkesudahan 1-1 dan Jude Bellingham dilayangkan kad merah.
Bellingham diarah keluar padang oleh pengadil Jose Luis Munuera Montero selepas pemain England itu berkata kepada pengadil untuk ‘pergi mampus (“f*ck you”)’.
Real Madrid kemudiannya menyerang standard pengadilan di La Liga dan mengadu tentang konspirasi yang kononnya wujud terhadap Los Blancos.
Namun, Tebas kini telah menggelarkan skuad kendalian Carlo Ancelotti tersebut sebagai ‘kelab yang menangis’ dan mengkritik Florentino Perez atas kepimpinannya yang berbentuk ‘oligarki’ di Real Madrid.
“Kami telah menghadapi banyak kontroversi pengadilan dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Dari Real Madrid TV, Real Madrid membangkitkan kontroversi dan menulis cerita palsu serta mempertikaikan semua tentang bola sepak,” ujar Tebas menurut sumber laporan Goal.
“Ia adalah cerita yang agresif secara verbal dan dimanipulasi. Saya tahu ramai Madridistas yang tidak bersetuju dengan Real Madrid, yang merupakan kelab yang suka menangis – mereka menangis sepanjang hari.”
“Mereka akan menangis pada hujung minggu, dan mereka akan menangis pada hujung minggu berikutnya dan semuanya adalah kerana konspirasi.”
“Ia membuatkan penggunaan VAR menjadi berlebihan. Dari ‘OK Jose Luis’, Florentino menghubungi presiden Persekutuan, Rubiales, dan sejak itu ia digunakan secara berlebihan.”
“Kami mahu mengubah sistem pengadilan. Jika anda membuat kajian dari kelab-kelab lain, mereka akan berkata bahawa Real Madrid dan Barcelona adalah yang paling beruntung, tetapi mereka tidak mempunyai televisyen untuk mengatakan perkara itu. RMTV adalah satu-satunya media yang memperjuangkan cerita ini.”
“Falsafah sepak bola diterapkan oleh Florentino (Perez) telah menipu orang ramai. Ia mewakili bola sepak oligarki, ia hanya mewakili bola sepak untuk orang kaya.”
“Dia mahu menentukan segala-galanya, wang yang diagihkan. Madridismo saya sedang tidur, tetapi dari masa ke masa ia akan meletup.”
“Sebahagian daripada Real Madrid sedang melakukan kesilapan dengan memuja segala yang Florentino lakukan, dengan mengatakan bahawa segala-galanya baik.”
“Real Madrid sepatutnya mempunyai pendapat yang bebas. Saya gembira apabila Real Madrid menang. Saya sangat gembira apabila Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara. Saya seorang Madridista, bukan Florentinista,” tambah Tebas lagi.