Baru-baru ini, pengguna Muslim di Malaysia dikejutkan dengan satu berita panas dari seberang iaitu beberapa produk makanan dari Indonesia didapati mengandungi DNA babi, sekali gus mencetuskan kegusaran ramai, lebih-lebih lagi apabila sebahagian produk itu memiliki sijil halal.

Susulan daripada pengumuman rasmi oleh pihak berkuasa Indonesia – iaitu Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak segera mengeluarkan arahan penarikan balik produk makanan yang terlibat dari pasaran tempatan, lapor Berita Harian.

Makmal Indonesia Jumpa DNA Babi

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, hasil pemantauan makmal oleh pihak Indonesia mendapati 11 bahagian daripada sembilan produk disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Babi

Lebih membimbangkan, sembilan bahagian daripada tujuh produk itu memiliki sijil halal, manakala dua lagi tiada sijil halal.

JAKIM melihat isu ini sebagai sesuatu yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Dalam kenyataannya, Dr Sirajuddin menyatakan bahawa pihaknya menyokong penuh tindakan tegas dan pantas oleh BPJPH dan BPOM dalam menangani isu pencemaran halal dan keselamatan makanan.

Babi

Malaysia juga mengambil langkah segera melalui kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk menjalankan pemantauan menyeluruh ke atas produk-produk yang mungkin masih berada di pasaran tempatan.

Selain itu, JAKIM turut mengarahkan mana-mana pengimport yang terlibat supaya segera menghubungi JAKIM melalui emel [email protected] serta melaksanakan penarikan balik produk terbabit dari rak-rak pasaraya di Malaysia.

Babi

Dr Sirajuddin turut menyeru orang ramai untuk turut sama memainkan peranan, dengan menyalurkan maklumat atau aduan sekiranya mereka menemui produk yang meragukan di pasaran.

Aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM di pautan rasmi: https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do.