Impian Indonesia untuk muncul sebagai hab kenderaan elektrik (EV) di Asia Tenggara sekali lagi dibayangi oleh isu ‘premanisme’ yang sudah lama berakar.

Memetik laman SCMP,  dilaporkan dua pelabur asing utama dalam sektor EV iaitu BYD dari China dan Vinfast dari Vietnam telah mengalami gangguan daripada kumpulan-kumpulan gangster semasa projek kilang mereka sedang beroperasi.

Preman mahu ‘pau’ jumlah yang besar

preman
Sumber Gambar: detiknews

Perkara ini menarik perhatian umum selepas Timbalan Ketua MPR RI, Eddy Soeparno, meluahkan kebimbangannya tentang gangguan ‘premanisme’ terhadap projek BYD bernilai $1 bilion sekitar RM4.8 bilion di Subang, Jawa Barat.

Tegasnya, kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja menyukarkan proses pelaburan di negara itu, malahan turut memberi kesan negatif kepada reputasi Indonesia di mata dunia.

Risau kredibiliti negara bakal tercalar

preman
Sumber Gambar: Business Today

“Kerajaan perlu tegas. Ini bukan semata-mata soal projek, tetapi melibatkan kredibiliti negara di mata pelabur global,” katanya.

Syarikat VinFast dikatakan turut berdepan isu ‘premanisme’ dalam proses pembinaan kilang mereka yang menelan belanja sekitar $200 juta (~lebih kurang RM960 juta) di kawasan yang tidak jauh dari situ.

Menurut sumber lain, walaupun tidak dinyatakan secara jelas pada laporan asal, difahamkan jumlah wang perlindungan yang diminta mencecah RM1.3 bilion.

Moeldoko, selaku Ketua Staf Kepresidenan dan juga Pengerusi Persatuan Industri Kenderaan Elektrik Indonesia, menyatakan bahawa beliau sendiri terpaksa turun padang dan melakukan rundingan dengan pemimpin masyarakat di kawasan tersebut.

“Ironinya, ketika negara sedang mencari peluang pekerjaan untuk rakyat, ada pula pihak menghalang pelabur yang mahu membuka peluang kerja,” katanya.

Kedua-dua syarikat berkenaan memberi jaminan bahawa pembangunan projek mereka berjalan mengikut jadual, sambil menekankan hubungan baik dengan masyarakat tempatan dan pematuhan undang-undang.

Rosan Roeslani, Menteri Pelaburan dan Hiliran, menyatakan bahawa kerajaan telah bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan projek EV ini berjalan tanpa halangan.

Selain itu, Jeneral Djon Afriandi, Panglima Kopassus, turut menyeru agar tindakan keras diambil terhadap sesiapa sahaja yang cuba menghalang kemajuan negara.