Salah seorang pundit terkenal di Indonesia mencadangkan agar negara itu berpindah dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC).
Pundit tersebut ialah Justinus Lhaksana dimana beliau memberi cadangan demikian sekiranya AFC membenarkan permintaan FA Bahrain yang mahu aksi menentang Indonesia diadakan di venue berkecuali.
Baca Juga:
- Ini Respon PSSI Terhadap Permintaan Bahrain
- Shin Tae-Yong Pertahan Penyokong Indonesia, Anggap Permintaan Bahrain Tak Masuk Akal
- Kerap Timbulkan Kontroversi, Ramai Menyampah Dengan Bahrain Yang ‘Play Victim’
“Kalau AFC mengabulkan permintaan Bahrain, kita (Indonesia) pindah ke Oceania saja, atau buat pertandingan AFC yang tidak disertai oleh pasukan dari Timur Tengah,” katanya di laman media sosial X miliknya.
Kalo AFC mengabulkan permintaan Bahrein, kita pindah ke Oceania aja, atau bikin AFC Tandingan yg isinya non Timur Tengah. Tinggal semua negara non TimTeng lobby FIFA agar AFC dibagi 2.
— Justinus Lhaksana (@CoachJustinL) October 16, 2024
Sebelum ini, FA Bahrain mahu aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang pasukan kebangsaan itu pada Mac 2025 diadakan di venue berkecuali ekoran faktor keselamatan.
Bahrain membuat permintaan tersebut setelah mendapat kecaman, kritikan di media sosial bahkan serangan siber selepas aksi kedua-dua pasukan di Manama yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 pada minggu lalu.
Melihat kepada perkara ini, Bahrain mahu aksi menentang Indonesia diadakan di venue berkecuali kerana bimbang akan keselamatan pemain dan pegawai pasukan serta penyokong yang bertandang ke tempat lawan.
Difahamkan selain daripada serangan siber, skuad Bahrain telah menghadapi pelbagai penghinaan dan ancaman yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pemain dan kakitangan.
PSSI melalui salah seorang EXCO iaitu Arya Sinulingga memberi maklum balas kepada permintaan itu dimana beliau menegaskan Indonesia merupakan satu negara yang aman damai.
“Pertama kita akan hantar surat ke AFC yang menyatakan mahu perlawanan tersebut kekal berlangsung di Jakarta, kerana sebelum ini kami beraksi di ibu kota Bahrain.
“Kedua, kita akan memastikan keselamatan dan keselesaan tetamu kita iaitu Bahrain kerana kita sebagai rakyat Indonesia adalah bangsa yang ramah terhadap tetamu.
“Kemudian mengenai apa yang berlaku di media sosial, rakyat negara ini kadang-kadang banyak komen tetapi mereka sebenarnya baik. Kita memang terkenal sebagai bangsa yang ramah. Kita sudah membuktikan ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia B-17 Tahun yang mana kejohanan itu berlangsung dengan sempurna,” katanya.