Kemas kini terbaharu insiden Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), penilaian teknikal Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) mendapati tiada bukti kegagalan sistem mekanikal termasuk sistem brek bas persiaran yang terbabit.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kongsikan perkembangan terbaharu menerusi satu laporan awal membabitkan nahas berkenaan.
Baca Juga:
- Nahas UPSI: Pemandu Bas Mengaku Tidak Bersalah Memandu Secara Berbahaya
- Netizen Doakan Cikgu Kembali Sihat Selepas PTPTN Umum Hutang Pelajar UPSI Maut Dilupuskan
- Pemandu Bas Pelajar UPSI Minta Maaf Kepada Keluarga Mangsa
Memetik Buletin TV3, laporan awal teknikal yang disediakan PUSPAKOM, Loke berkata keadaan fizikal brek bas, ‘brake lining’ dan ‘brake drum’ bagi semua gandar masih berada di dalam keadaan yang memuaskan.
“Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada ‘brake drum’ mahupun kenipisan pada ‘brake lining’ selain tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, ketebalan bunga tayar juga dalam keadaan memuaskan dan mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Komponen bahagian ‘steering’ dan suspensi secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan.
“Berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan.
“Oleh itu, kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca daripada faktor lain seperti faktor manusia, keadaan jalan dan sebagainya,” katanya.