Rafael Nadal merupakan nama yang tidak perlu lagi untuk diperkenalkan dalam kancah sukan tenis di seluruh dunia bersandarkan kepada reputasi hebat dimilikinya.

Pelbagai pencapaian telah dikecapi anak kelahiran Mallorca, Sepanyol itu sepanjang kariernya yang bermula tahun 2001 atau lebih tepat lagi pada usia 15 tahun.

Yang paling mencuri tumpuan pastinya kejayaan Nadal mengumpul 22 gelaran ‘Grand Slam’ dimana 14 daripadanya menerusi kejohanan Terbuka Perancis.

Disebalik kehebatannya dalam sukan raket tersebut, Nadal juga sebenarnya sangat menggemari dan cukup dekat dengan sukan paling popular di dunia iaitu bola sepak.

Apa yang membuatkan Nadal sukakan bola sepak?

Mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa legenda Barcelona, Miguel Angel Nadal merupakan bapa saudara kepada pemain tenis ranking ke-244 dunia itu.

Beraksi sebagai pemain pertahanan, Miguel Nadal membantu mengerah kudratnya buat Barcelona sehingga membantu kelab gergasi Sepanyol tersebut dalam menjuarai kempen La Liga sebanyak lima kali [musim 1991/92, 1992/93, 1993/94, 1997/98 dan 1998/99].

Beliau turut menikmati pengalaman beraksi dalam tiga saingan Piala Dunia berturut-turut [1994, 1998 dan 2002] dan telah membuat 62 penampilan bersama skuad kebangsaan Sepanyol.

Beliau kemudiannya  telah mengumumkan persaraan daripada kancah bola sepak profesional pada tahun 2005.

Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah Nadal amat meminati bola sepak dan sebagai anak saudara sulung dalam keluarganya pada ketika itu, beliau sering dimanjakan oleh bapa saudaranya itu.

Anak saudara legenda Barcelona tak bererti perlu jadi penyokong kelab itu

Meskipun bapa saudaranya merupakan antara legenda Barcelona, ia langsung tidak mempengaruhi keputusan Nadal dalam memilih pasukan kegemarannya di Sepanyol.

Hal ini kerana beliau sememangnya merupakan peminat setia Real Madrid di mana beliau turut mempunyai hubungan yang cukup baik bersama presiden kelab, Florentino Perez.

”Dia merupakan peminat setia Real Madrid seumur hidupnya, kerana dia sangat meminati bola sepak,” ujar Toni Nadal, seorang lagi bapa saudara Nadal yang pernah menjadi jurulatih peribadinya menurut sumber laporan Sportskeeda.

”Dia mempunyai bapa saudara yang bermain untuk Blaugrana [Barcelona] dan keluarga kami telah ‘berpecah’ di antara Catalans dan Madridista.”

“Saya merasakan dia telah melakukan keputusan dengan cukup baik,” tambah Toni lagi yang merupakan abang kepada Miguel Angel Nadal.

Juga merupakan seorang pemain bola sepak yang baik

Dalam pada itu, Toni turut mendedahkan bahawa Rafael Nadal juga merupakan seorang pemain bola sepak yang baik dan sangat klinikal di hadapan pintu gol lawan.

“Dia mempunyai keupayaan dan berjaya melakukan dengan baik ketika bermain bola sepak. Dia merupakan individu penting di jentera serangan dan merupakan penjaring terbanyak buat pasukannya [Olympique].”

“Dia tidak mempunyai karakter seperti pemain posisi peranan nombor 9 yang menunggu bola lalu menyempurnakannya, tetapi dia akan lebih bergerak ke depan dari arah kawasan kiri kerana dia seorang kidal.”

Malah, ketika usianya 12 tahun, Nadal perlu untuk pilihan yang cukup penting sama ada mahu menjadi pemain bola sepak atau tenis.

Akhirnya setelah berfikir panjang , Nadal mengambil keputusan berada untuk di bawah kendalian Toni (memilih tenis).

Satu keputusan yang boleh dianggap sebagai cukup tepat sehingga  menjadikan beliau sebagai salah seorang legenda dalam sukan tersebut.

Sumber