Rakyat Indonesia nyata kagum sekaligus cemburu dengan keunikan pasport Malaysia selepas rekaan sebenar pasport tersebut tular di laman media sosial baru-baru ini.

Menerusi laman media sosial X, salah seorang rakyat negara jiran menyatakan rakyat Malaysia bertuah kerana bukan sahaja mempunyai pasport yang reka bentuknya bagus, kekuatan pasport Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia.

Baca Juga:

“Bertuah jadi rakyat Malaysia. Pasport mahal boleh dipakai ke mana-mana tanpa menggunakan visa. Tak macam kita,” kata seorang pengguna.

Satu video telah dimuat naik di X yang mana menunjukkan rupa ‘sebenar’ pasport yang dahulunya dianggap biasa sahaja.

Di dalam video tersebut, dapat dilihat seorang individu membelek buku pasport yang pada mata kasar kelihatan biasa namun apabila dipancarkan cahaya UV maka terpaparlah kecantikan yang tersembunyi.

Pada setiap helaian bakal dipaparkan sejumlah bangunan atau masjid yang ikonik di Malaysia serta ada imej sekuntum bunga raya pada kemasannya.

Difahamkan ini merupakan salah satu ciri keselamatan yang disertakan pada pasport Malaysia. Bahkan, dengan penambahan ‘detailing’ ini sebenarnya menjadikan pasport berkenaan tampak lebih premium berbanding dengan negara lain.

Ramai yang memuji akan kecantikan dengan detailing yang dibawakan menerusinya dan berseloroh inilah sebab mengapa pihak imigresen mengambil masa yang lama untuk memberi pengesahan.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Henley & Partners menunjukkan pasport negara ini menduduki tangga ke-12 paling berkuasa di dunia tahun ini berbanding tangga ke-14 tahun 2023. Pemegang pasport Malaysia dibenarkan pergi ke 182 negara tanpa memerlukan visa berbanding 179 negara tahun lalu.

Ini adalah kedudukan terbaik Malaysia sejak 2014 di mana pasport negara berada di tangga ke-8. Pasport paling berkuasa di dunia masih kekal di tangan Singapura yang membenarkan perjalanan ke 192 destinasi tanpa memerlukan visa.

Di rantau Asia Tenggara Malaysia tangga kedua manakala di peringkat Asia pula kita di tangga ke empat di belakang Singapura, Jepun dan Korea Selatan.