Memiliki kenderaan di Indonesia merupakan suatu cita-cita yang besar kerana bakal menelan kos yang besar dari segi harga kenderaan itu sendiri ditambah pula dengan pelbagai jenis cukai yang tinggi.
Oleh itu, sesiapa mempunyai kenderaan di sana dikira sebagai orang yang berduit. Bagaimanapun, pemandangan landskap ini dilihat berbeza di Malaysia apabila hampir setiap isi rumah mempunyai paling kurang satu kenderaan peribadi.
Hal ini menjadi perbualan hangat di Facebook apabila sebuah pages memuat naik fakta menarik bahawa Malaysia telah memecah rekod di mana jumlah kenderaan berdaftar di dalam negara mencecah 36 juta unit.
Angka yang cukup besar ini malahan telah mengatasi jumlah populasi manusia di negara ini yang mana hanya sekitar 32 juta orang sahaja.
Fenomena ini dipercayai boleh berlaku susulan infrastruktur pengangkutan awam yang terhad sekaligus setiap individu perlu mendapatkan kenderaan untuk bergerak ke sesebuah lokasi dengan lebih mudah.

Oleh itu, warganet dari Indonesia langsung memuji akan kehebatan negara Malaysia kerana jumlah kereta yang tinggi sekaligus memberikan gambaran bahawa kos sara hidup di sini adalah lebih bagus kerana setiap individu mampu memiliki sebuah kenderaan.
Mereka percaya dengan kepimpinan kerajaan yang bagus boleh memberikan manfaat buat setiap rakyat Malaysia di samping memiliki taraf hidup yang lebih baik berbanding di Indonesia.
Ada yang menerangkan lanjut sejumlah sebab mengapa rakyat Malaysia mampu mencapai sehebat itu adalah kerana pelbagai keperluan asas seperti bahan api sedia dinikmati dengan harga murah bahkan peluang pekerjaan terbentang luas.
Dengan ini, jarak kelas di dalam masyarakat tidaklah terlalu jauh dan semua boleh hidup dengan harmoni dan makmur.
Sehinggakan, ada warganet yang merasakan tidak layak untuk mereka membandingkan Malaysia dengan Indonesia kerana sudah ketinggalan jauh di belakang dalam pelbagai aspek.
Sementara wargarnet dari Malaysia pula meluahkan rasa terharu malah ada rasa sedikit kecewa dengan segala tohmahan dan kejian yang sering dilemparkan oleh warga tempatan sendiri terhadap kerajaan meskipun taraf hidup sudah berada di tahap yang optimum.