Seorang rakyat Malaysia terkejut dan kecewa apabila mendapati percutiannya di Bangkok bertukar tragedi apabila dia telah diculik oleh rakannya sendiri.
Lelaki berusia 37 tahun itu, dikenali sebagai Law, berkongsi pengalaman pahitnya dalam sebuah video siaran langsung di Facebook.
Menurutnya, dia dihubungi oleh seorang rakan lama pada April tahun ini.
Dalam video tersebut, Law menceritakan bagaimana dia jatuh ke dalam perangkap rakannya sendiri ketika tiba di Bangkok.
“Dia jemput saya makan, katanya dia belanja. Kemudian, dia ajak saya ke Bangkok untuk festival agama dan bercuti, dan yang paling best, katanya semua perbelanjaan ditanggung.”
Law sangat teruja dan tidak berfikir panjang sebelum menerima pelawaan tersebut, walaupun perjalanan tersebut tidak mempunyai tiket penerbangan pulang.
Setibanya di Bangkok pada 7 Mei, rakan Law membawanya masuk ke dalam sebuah kereta tetapi tidak lama selepas itu dia pengsan selepas minum sebotol air kosong.
Apabila sedar, Law mendapati “percutian ke Bangkok” itu sebenarnya adalah perjalanannya ke Burma, yang langsung tidak pernah dirancang olehnya.
“Saya nampak 4 lelaki dari China dan seorang lelaki Malaysia. Salah seorang daripada mereka meminta RM50,000.”
Law terperangkap dan sepanjang masa dia dipukul dengan kayu dan batang besi serta mengalami luka di leher dan lengannya.
Menurutnya, dia bukanlah satu-satunya mangsa di situ. Dia melihat beberapa mangsa lain yang terperangkap atas sebab yang sama.
Law tidak menceritakan bagaimana dia berjaya melarikan diri dari penculik tersebut, tetapi dia ada bercerita siapa yang dia jumpa semasa mahu melarikan diri.
“Saya jumpa seorang askar Burma yang boleh bercakap BM. Dia melindungi saya selama 2 minggu sebelum saya dibawa pulang oleh wakil-wakil daripada Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO).”
Law selamat pulang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai. Dia cuba menghubungi ‘rakannya’ semula, tetapi nombor tersebut tidak lagi berfungsi.
Segala yang dialami oleh Law ini kedengaran serupa dengan apa yang dilalui oleh mangsa penipuan pekerjaan selepas mereka diculik oleh sindiket.