Pasukan Indonesia kembali memintas Malaysia selepas berjaya menewaskan Arab Saudi dalam aksi kumpulan C kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Gelora Bung Karno baru-baru ini.

Sebelum ini, Malaysia memintas negara jiran itu selepas menewaskan Laos dalam aksi persahabatan manakala Indonesia tewas kepada Jepun.

Baca Juga:

Berdasarkan kedudukan yang dikeluarkan pada 16 November 2024, Malaysia menaiki lima anak tangga (128) selepas memperoleh +2.97 daripada kemenangan ke atas Laos, manakala Indonesia, kekal di tangga ke-129, meraih -2.93 berikutan kekalahan kepada Jepun.

Akan tetapi, kedudukan tersebut berubah selepas Garuda mencatat kemenangan ke atas Arab manakala skuad Harimau Malaya hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1.

Dalam kemas kini terbaru yang dikeluarkan oleh FIFA, skuad Garuda menduduki tangga ke-130 manakala Malaysia menduduki tangga ke-133. Anda boleh lihat ranking penuh di sini.

Kemenangan ke atas Arab Saudi membolehkan Indonesia menduduki tempat ketiga dalam kumpulan C dan menghidupkan semula usaha mereka untuk layak ke Piala Dunia 2026.

Pemain muda yang berkelana di England, Marselino Ferdinan jelas mencuri tumpuan apabila beliau menjaringkan kedua-dua gol tersebut di setiap babak.

Stadium Gelora Bung Karno bergegak-gempita pada minit ke-32 apabila percubaan susulan Marselino dalam kawasan penalti hanya mampu dipandang Al-Kassar bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Calvin Verdonk hampir melebarkan kedudukan pada masa kecederaan tetapi percubaannya selepas beliau meluru pantas ke dalam kawasan penalti untuk menyambar hantaran jauh Sandy Walsh sekadar terkena jaring luar.

Memasuki babak kedua, Arab Saudi terus menekan Indonesia dengan corak permainan hantaran pendek tetapi jentera serangan mereka masih ketandusan idea.

Sebaliknya, Indonesia mengambil kesempatan dengan baik selepas Marselino melakukan sungkitan mudah untuk menewaskan Al-Kassar ketika pertahanan Arab Saudi kelam-kabut di hadapan pintu gol untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-57.

Saingan kelayakan akan berhenti untuk sementara waktu bagi memberi laluan kepada kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.