Kalau anda melihat siri Squid Game, anda pasti cukup mengetahui bagaimana kisah disebalik setiap karakter yang mahukan hadiah wang yang lumayan ekoran hidup dihimpit masalah hutang dan seumpamanya.
Inilah apa yang dirasakan oleh seorang pemuda yang mengalami kesukaran menjalankan kehidupan seharian dengan gaji yang rendah iaitu sekitar RM2,500 di ibu kota Kuala Lumpur.
Dia memulakan penulisan dengan membuat perbandingan yang jelas dengan menyatakan “Bertahan hidup di KL terasa seperti bermain Squid Game.”
Dia menyenaraikan kos-kos penting yang sudah mengambil lebih daripada separuh gaji bulanannya:-
Sewa bilik: RM600
Makan di luar dua kali sehari: RM600 (RM10 setiap hidangan) Perjalanan ke tempat kerja: RM200
Telefon + internet: RM100
Setelah keperluan asas ini dipenuhi, dia hampir tidak mempunyai apa-apa lagi, dan itu belum termasuk perkara seperti kecemasan, mengirim wang ke kampung, atau membesarkan anak-anak.
Ia adalah soalan yang sering didengar oleh golongan berpendapatan rendah. “Ramai orang berkata, ‘Cari sahaja pekerjaan yang lebih baik,'” tulisnya.
Walaupun kenyataan itu ada benarnya, lelaki it mendakwa ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk direalisasikan.
Menurutnya, biarpun memiliki ijazah universiti sekalipun, ramai graduan di Malaysia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.
Berbanding mendaki tangga kerjaya yang jelas, ramai yang terpaksa akur, mengambil apa sahaja pekerjaan yang mereka dapat semata-mata untuk terus hidup.
Selain tekanan kewangan, pengguna itu juga menekankan sesuatu yang lebih emosional iaitu stigma menghadapi kesusahan dimana ada sesetengah individu berasa jika mereka mengakui sedang menghadapi kesusahan maka orang akan memandang rendah terhadapnya.
Namun, beliau meyakinkan pembaca bahawa mereka tidak bersendirian dan yang lebih penting, mereka tidak bersalah.
“Ini bukan soal malas. Ini soal sistem. Harga barang terus meningkat, tetapi gaji tetap sama,”ujarnya.
Malah, apa yang dimahukan oleh semua orang adalah hidup tanpa stress berterusan dan bukannya dalam kemewahan seperti yang dibayangkan.
Luahan yang cukup menyentuh hati ini sememangnya mendapat sejumlah komentar dari netizen malahan ada yang memberi kata-kata semangat dan tak kurang juga memberikan solusi berkaitan perancangan kewangan.
“Bilik sewa boleh cari yg murah rm250 pun boleh dapat tp kalau selera tinggi tak pe la RM600. Dulu sy duduk KL sewa bilik RM220 apartment, lepas tu sewa tempat lain RM250. Sekarang sewa bilik single apartment tambah dekat sangat dengan LRT baru RM400,” kongsi seorang netizen.
“Utk makanan, jadikan rutin bawa bekal nasi pergi kerja. Atleast bila beli lauk tu, cuma RM5 je. Tak de la terasa sangat. air coway biasa kt ofis ada. Klu tak de, biasakan diri cari surau/masjid terdekat sebab biasanya ade air coway. Bila pakai masjid /surau punya tu, biasakn utk brsdkh ke dlm tabung. Rm1 / 2 pon ok dh,” nasihat seorang netizen lain berhubung makanan dan minuman.
“Gaji berapa tak kisah, asalkan pandai jaga money management akan okay tapi kalau gaji bawah RM2.5k memang tak berbaloi sekarang,” ujar seorang lagi.
Ramai juga menekankan untuk mencari kerja lain atau membuat kerja sampingan dalam menampung kehidupan seharian di bandar yang serba mahal secara relatifnya.