Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran bekas pemain skuad kebangsaan Sepanyol, Luis Garcia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu kelab tersebut.

Perkembangan terkini mengenai kehadiran Garcia itu disahkan laman Facebook JOHOR Southern Tigers dalam satu pengumuman rasmi dikeluarkan sebentar tadi.

Baca Juga:

Pelantikan itu juga menyaksikan terdapat perubahan peranan buat CEO sebelum ini iaitu Alistair Edwards.

Luis Garcia
Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Kepakaran Luis Garcia Ditagih JDT

“JDT telah melantik Luis Garcia, pemenang Liga Juara-Juara UEFA dan bekas pemain antarabangsa Sepanyol sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 1 April 2025 berikutan penstrukturan bagi mengukuhkan dan memaksimumkan kepakaran pengurusan kelab.”

“Bekas pemain Barcelona, ​​Liverpool dan Atletico Madrid itu juga merupakan pemegang Lesen Pro UEFA dan Sarjana Eksekutif UEFA untuk Pemain Antarabangsa selain peranannya selaku duta untuk FIFA, UEFA dan LaLiga.”

“Penstrukturan semula itu juga melihatkan Alistair Edwards kini menggalas dua peranan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu dan Pengarah Teknikal kelab, jawatan yang pernah disandang oleh bekas legenda antarabangsa Australia dan Johor dari 2017 hingga 2022, dimana beliau melakarkan pembangunan belia dan membentuk kejayaan Akademi JDT.”

Luis Garcia
Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Setelah bersara dari dunia profesional, Luis Garcia tidak menceburkan diri dalam dunia kejurulatihan tetapi beliau dilihat lebih banyak membuat kemunculan di kaca televisyen.

Beliau pernah bertindak selaku  pundit untuk beberapa saluran sukan ternama dan turut pernah menjadi expert bagi beberapa kejohanan termasuk temasya UEFA Euro 2016.