Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memantapkan pasukan dalam usaha melakar sejarah dalam kancah AFC Champions League (ACL) Elite 2024/25 selepas mengumumkan kehadiran Samu Castillejo.

Pemain kelahiran Malaga itu hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dengan reputasi selaku pemain yang pernah beraksi bersama kelab gergasi Eropah seperti AC Milan, Villarreal, Valencia, Malaga dan US Sassuolo.

Baca Juga:

Kehadiran pemain berusia 30 tahun itu disahkan laman JOHOR Southern Tigers dalam satu video pengenalan yang dimuatnaik sebentar tadi.

Samu yang bergelar ejen bebas selepas kali terakhir beraksi di pentas kompetitif pada musim 2023/24 dimana pada ketika itu beliau bersama Sassuolo dalam saingan Serie A.

Statistik Samu Castillejo di Eropah

Mengikut statistik yang dikeluarkan Transfer Markt, beliau membuat 324 penampilan di pentas senior dengan menghasilkan 26 gol serta mencipta 34 bantuan jaringan sejak musim 2014/15.

Beliau menjadi pemain ternama yang terbaharu menyertai JDT selepas pemenang dua kali UEFA Champions League (UCL), Jese Rodriguez direkrut pada Oktober tahun lalu.

Kehadiran Samu Castillejo dilihat tepat pada masanya ketika JDT sedang memburu tempat untuk mara ke suku akhir saingan ACL Elite 2024/25.

Selepas mengharungi peringkat kumpulan, JDT akan menghadapi cabaran wakil Thailand, Buriram United pada 4 dan 11 Mac nanti.

JDT sebelum ini memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk Alvaro Gonzalez, Anselmo Moraes, Jonathan Viera dan Roque Mesa untuk menghadapi saingan UCL Elite.