Ruud van Nistelrooy secara rasminya diumumkan sebagai pengurus baharu Leicester City bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Steve Cooper.
Cooper dipecat selepas hanya 12 perlawanan English Premier League (EPL) dilaluinya apabila Leicester City hanya mencatatkan dua kemenangan, empat keputusan seri dan enam kekalahan untuk menduduki tangga ke-16 dengan 10 mata.
Baca Juga:
- Pecat Cooper, Leicester City Sasar Dapatkan Ruud Van Nistelrooy
- 5 Calon Berpotensi Jadi Pengurus Baharu Manchester United
- Kisah Leicester City, Kelab ‘Underdog’ Yang Menjuarai EPL Musim Ini
Walaupun kedudukan tersebut tidaklah seteruk apa yang sedang dialami Wolves, Crystal Palace, Ipswich Town dan Southampton, tetapi nasih jelas tidak menyebelahi Cooper.
Sehubungan dengan itu, Leicester City mengambil keputusan pantas setelah melihat van Nistelrooy turut bergelar ejen bebas setelah meninggalkan barisan kejurulatihan Manchester United.
Pengumuman mengenai kehadiran bekas penyerang prolifik itu dibuat Leicester City dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab tersebut, sebentar tadi.
Sebelum menyertai Manchester United sebagai pembantu kepada pengendali terdahulu, Erik ten Hag, van Nistelrooy merupakan pengurus PSV Eindhoven yang membawa kelab tersebut muncul juara KNVB Cup 2022/23.
‘Saham’ Ruud Van Nistelrooy sedikit melonjak selepas beliau bertindak selaku pengendali interim Manchester United berikutan pemecatan Erik Ten Hag.
Peningkatan aksi dapat disaksikan ketika The Red Devils berada di bawah kendalian bekas penyerang prolifik itu selepas mereka menundukkan Leicester City 5-2 dalam aksi Piala Carabao, menang ke atas PAOK 2-0 ketika Liga Europa dan sekali lagi mengecewakan Leicester dalam kempen liga dengan kemenangan 3-0.
Pertemuan EPL menentang Brentford di gelanggang lawan bakal menjadi tugasan sulung buat Ruud van Nistelrooy bersama Leicester City malam ini.