Prestasi Pengadil Final Unifi Piala Malaysia 2024-2025, Razlan Jofri Ali adalah pada tahap baik manakala keputusan-keputusan penting yang dibuat olehnya pada perlawanan adalah tepat.
Demikian kesimpulan yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM selepas beliau meneliti laporan Penilai Pengadil serta analisis oleh Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM.
Baca Juga:
- Komen Fandi Ahmad Mengenai Razlan Jofri Ali
- ‘Razlan Jofri Ali Adalah Pengadil Terbaik Di Malaysia’ – Akmal Rizal
- Masa Depan Cerah Menanti Ibrahim Manusi
FAM Mengenai Prestasi Razlan Jofri Ali
“Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa pengendalian perlawanan oleh Razlan Jofri Ali telah menunjukkan satu prestasi yang baik, sekali gus tidak mempengaruhi keputusan akhir perlawanan.
“Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM juga telah membuat analisa perlawanan dan mendapati keputusan Kad Kuning kedua (Perintah keluar padang) yang diberikan kepada kedua-dua pasukan adalah tepat dari segi Undang-undang Permainan FIFA 2024/2025.
“Keputusan penalti yang diberikan kepada pasukan JDT dan keputusan membatalkan gol JDT kerana kesalahan offside adalah tepat.

“Setiap insiden dalam permainan tersebut telah disemak dengan tepat oleh Pengadil VAR dan tahap pematuhan ‘Protocol VAR’ adalah sangat cemerlang,” kata beliau.
Dato’ Sivasundaram turut membuat kesimpulan bahawa setiap ‘key match incident’ dalam perlawanan tersebut telah diadili dengan tepat mengikut Undang-undang permainan FIFA.
“Lumrah manusia yang mana tidak lari daripada kesilapan-kesilapan yang mana ia tidaklah sebesar mempengaruhi keputusan akhir perlawanan tersebut.
“Kedua-dua pasukan telah memiliki peluang yang sama rata untuk bergelar juara dan ia ditentukan oleh pasukan itu sendiri. FAM sangat komited dengan mutu prestasi pengadil dan FAM tidak pernah berkompromi dalam hal mutu pengadil,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Dato’ Sivasundaram mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan yang telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam aksi final tersebut.