Nota Editor: Penulisan ini ditulis oleh Tuan Abd Ghani Haron. Semoga kisah ini menyentuh hati untuk kita menjadi lebih pemurah pada Ramadhan ini. Lawati Facebook Page Tuan Abdul Ghani Haron untuk lebih banyak cerita inspirasi di sini.
Gambar hiasan. Kredit: x10melayu
TIDAK SEDAR TUHAN DIPERSALAHKAN
Ahad lalu, saya pergi ke satu kenduri kahwin dah agak lewat petang. Saya cuma minum sahaja. Saya lihat tray buffet kekurangan lauk. Ketika minum di meja, seorang yang mengambil makanan datang duduk sekali dengan saya.
“Tak makan ka?” Dia menegur.
“Tidak, saya masih kenyang,” balas saya.
“Tak ada lauk dah. Buat kenduri jemput orang ramai, lauk tak cukup. Malu pada orang, tinggal kuah saja,” dia merungut.
“Saya rasa kita kena ingat, rezeki itu di tangan Allah. Allah yang menentukan apa yang kita dapat makan. Jika kita datang rumah kenduri, tak dapat makan, maka tiada rezekilah tu. Tuan rumah telah berusaha sediakan bagi cukup, mana ada tuan kenduri merancang untuk tak cukup. Tetapi Allah menentukan sebahagian orang tak dapat makan, maka tak cukuplah. Jadi bersyukurlah dengan apa yang ada meskipun sekadar nasi dan kuah. Bukan makan itu matlamat hadir kenduri, tetapi memenuhi jemputan dan menjalin ukhwah itu yang lebih utama,” dia terdiam, merah padam mukanya.
Saya mahu mengajak semua pembaca menyedari hakikat rezeki di tangan tuhan. Jika pergi kenduri, apa yang tersedia itu rezeki kita, sedap atau tidak, berkenan atau tidak, tinggal kuah dan nasi sahaja, itulah rezeki kita. Jangan sesekali bersungut kerana jika kita bersungut, kita sebenarnya merungut takdir tuhan. Tidak ada tuan kenduri yang mahu jamuannya tidak cukup, mereka tentu telah berusaha untuk menvukupkan, bahkan cukup atau tidak terletak kepada ketentuan Allah. Jika anda singgah di R&R dan dapati lauk habis, jangan bersungut kata pekedai tidak pandai berniaga, apa yang ada itulah rezeki kita. Jika balik rumah, di bawah tudung saji hanya ada nasi dan ikan kering tamban bersama sambal belacan, makanlah, hanya itu rezeki kita. Jangan diherdik isteri yang memasak. Jika tiada rezeki, lauk dimasak jadi hangit, periuk terbalik, ikan dilarikan kucing dan serba macam sebab tuhan akan jadikan.
Berlapang dadalah sebelum menuding tangan menyalahkan orang lain kerana takut kita tersalahkan tuhan. Jika mahu makan sedap, mahu makan banyak, berusahalah sendiri. Jika hanya mahu datang mencedok ke dalam pinggan, bersyukurlah dengan apa yang ada. Bukankah ini lebih baik, anda pulang dari jamuan dengan rasa lega dan redha, moga tuhan juga meredhai. Nabi menegah perbuatan mengeji makanan, makan apa yang kita suka, tinggalkan yg tidak suka. Apa yang tidak dapat disuap ke mulut kita itu adalah bukan rezeki kita. Kalau tidak elok pada mata kita, tidak sedap pada lidah kita, tinggalkan dan jangan merungut, kerana anda mungkin merungut pada rezeki yang Allah beri.
BACA: Lelaki Ini Mengulas Persoalan Adakah RM1 Terlalu Sikit Sebagai Duit Raya Masa Kini?
BACA Lagi: Ini Sebabnya Kenapa Dilarang Menghina Makanan Yang Tak Sedap