Malaysia akan menghantar pulang rakyat Palestin yang dibawa ke negara ini apabila mereka selesai menjalani rawatan, kata Menteri Luar, Mohamad Hasan.
Memetik Malaysiakini, beliau berkata komitmen itu diberikan kepada pemimpin Palestin sebelum rakyat negara itu yang cedera menerima rawatan di Malaysia.

Ini kerana berdasarkan rundingan Malaysia dengan kepimpinan Palestin, selain rakyatnya sendiri lebih rela mati di tanah air sendiri berbanding di luar. Mereka juga sebenarnya tidak mahu pun meninggalkan tanah air yang tercinta iaitu Palestin.
“Janji kita dengan Palestin…mereka (ini) tak nak keluar (dari Palestin) mereka rela mati di negara mereka…mereka nak mati di tanah air sendiri, jadi kita kena hantar mereka pulang.
“Saya berbincang dengan pemimpin Palestin, mereka tak mahu ke Jordan (dan) sebagainya…biarlah mereka mati di situ, katanya.
“Tapi kita sebagai masyarakat antarabangsa, negara mempunyai hati terhadap penderitaan, sedikit yang kita buat tu janganlah jadi sebagai perkara yang dihebohkan sangat.
“Tak usah risau, ada negeri risau kita akan hantar orang Palestin (ini) duduk di negeri itu, tidak ada,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan persidangan sayap Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin yang turut serta dalam sidang media itu berkata belum ada sebarangan rancangan bagi penerbangan kedua untuk membawa masuk rakyat Palestin.
“Buat ketika ini belum,” kata Mohamed Khaled ketika ditanya media.