Sudah seperti filem “Catch me if you can” pula dengan pendedahan terbaharu berkaitan seorang remaja yang dikatakan berjaya menyusup masuk dan menyamar sebagai pekerja di hospital kerajaan.
Menurut Malaysiakini, Polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyiasat dakwaan seorang remaja 14 tahun tahun yang didakwa menyamar sebagai kakitangan Hospital Serdang, Kajang.
Lebih mengejutkan, dia dilapor sempat bertugas secara haram di hospital itu selama seminggu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan berdasarkan laporan polis yang dibuat di Balai Dato Abu Bakar Baginda, Kajang.
Setakat laporan ini ditulis, tidak banyak maklumat berkaitan kes itu tersedia.
Sementara itu, seorang pegawai kanan KKM memberitahu Malaysiakini mereka tidak akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan perkara itu sekarang kerana siasatan masih berjalan.
“Dan KKM tidak mahu mengganggu proses yang masih berjalan,” kata pegawai itu yang enggan namanya didedahkan.