Masalah penyeludupan daun ketum bukan satu perkara asing yang berlaku di negara kita. Malah pelbagai cara dilakukan untuk menyeludup daun ini bagi jualan pasaran tempatan mahupun ke negara jiran.

Terbaharu, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan oleh pihak Polis Daerah Langkawi selepas didapati bersalah selepas cuba menyeludup enam guni daun ketum seberat 210 kilogram dengan menggunakan perkhidmatan feri penumpang.

Nilai rampasan daun ketum dianggarkan berjumlah RM2,100 namun dipercayai harga daun ketum di pasaran gelap di Langkawi dikatakan boleh mencecah berlipat kali ganda daripada itu.

Difahamkan suspek yang juga merupakan pekerja feri berkenaan ditahan di Jeti Kuah sekitar jam 2 petang semalam. Menurut laporan Harian Metro, keenam-enam guni daun ketum tersebut diletakkan oleh suspek di tempat simpanan bagasi penumpang dalam feri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya semalam melakukan pemeriksaan terhadap feri berkenaan selepas menerima hasil laporan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi.

“Hasil pemeriksaan feri berkenaan, kami telah menjumpai enam guni daun ketum yang masih segar.

“Hasil ujian air kencing telah  menunjukkan bahawa suspek positif dadah jenis Methamphetamin,” kata Shariman dalam satu sidang media di IPD Langkawi hari ini.

Berdasarkan semakan laporan polis, suspek yang berasal dari Kodiang, Kedah itu didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Walau bagaimanapun, suspek kini direman untuk empat hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini pihak polis berjaya menahan 10 individu yang sanggup rentas daerah demi ‘party’ air ketum. Baca lagi pada pautan di bawah.

Polis Tahan 10 Individu, Didapati Rentas Daerah Demi Hadiri ‘Party’ Air Ketum

Tarikan Terbaharu Di Kelantan, Restoran Ini Jual ‘Ketum Float’ Dengan Harga RM3.00

Bukan Untuk Tular, Guru Dedah Video ‘Bapa Saya Masak Ketum’ Hanya Dihantar Kepada Ibu

Sumber