Seorang remaja lelaki di India tular selepas didakwa melakukan mogok lapar selama tiga hari untuk memaksa ibunya yang miskin membeli sebuah iPhone, lapor Oddicity Central.

Video pendek yang dirakam oleh pemilik kedai telefon pintar itu menunjukkan remaja tersebut mengakui bahawa dia tidak makan selama tiga hari semata-mata untuk mendesak ibunya membeli telefon bimbit yang menjadi idamannya.

Ibu remaja tersebut, yang dilaporkan mencari nafkah dengan menjual bunga di luar sebuah kuil, turut tampil dalam video tersebut dengan wajah yang kurang senang dengan kelakukan anaknya.

Video yang dikongsi oleh seorang wartawan India bernama Abhishek di media sosial X, telah ditonton lebih sejuta dan mencetuskan perdebatan di kalangan netizen.

“Saya menjual bunga di luar kuil dan saya memberikan dia wang untuk membeli telefon tersebut kerana dia tidak makan apa-apa selama tiga hari,” kata ibu remaja tersebut dalam video yang menjadi viral. “Saya gembira tetapi saya mahu dia bekerja dan membawa pulang wang tersebut.”

Sikap remaja terhadap ibunya telah menerima kritikan dalam talian, dengan ramai pengguna media sosial menuduhnya menyeksa emosi ibunya.

Mereka menyatakan bahawa remaja tersebut tidak sensitif terhadap kesusahan ibunya yang mencari nafkah dengan menjual bunga, tetapi masih memaksa untuk memiliki telefon pintar.

“Video ini menyedihkan,” tulis Abhishek. “Ibu budak ini menjual bunga di luar kuil. Dia mendesak untuk membeli iPhone dan mogok lapar selama 3 hari. Akhirnya, ibunya mengalah dan membeli iPhone itu dengan wang hasil titik peluhnya. Wajah ibunya menceritakan segalanya.”

“Berbelanja sebanyak ini untuk sebuah telefon (iPhone) apabila anda tidak bekerja, sementara ibu anda bersusah payah menjual bunga, tidak masuk akal,” komen seorang pengguna X. “Ibunya mengalah kerana dia mogok lapar. Saya tidak tahu nak kata apa. Video ini benar-benar menyentuh hati.”

Kegilaan memiliki sebuah iPhone telah menyebabkan pelbagai insiden luar biasa berlaku, termasuk kes di mana beberapa individu sanggup menjual buah pinggang mereka di pasaran gelap semata-mata untuk mendapatkan iPhone.