Semalam Malaysia digemparkan dengan kisah seorang remaja yang dikatakan telah menyamar sebagai petugas hospital di Serdang.

Menurut Harian Metro, remaja perempuan berusia 14 tahun yang menyamar sebagai kakitangan Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang direman dua hari sehingga esokuntuk siasatan polis.

Sebelum itu suspek tiba di perkarangan Mahkamah Sepang pada jam 8.40 pagi tadi memakai pakaian lokap berwarna oren diiringi anggota polis.

Tiada kelibat ibu atau bapa suspek dilihat di pekarangan kompleks mahkamah berkenaan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan di Mahkamah Majistret di sini.

Tahanan reman ke atas suspek itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 170 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan menyamar penjawat awam.

Jika sabit kesalahan, hukuman bagi menceroboh boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, manakala hukuman bagi menyamar penjawat awam, boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner,Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan remaja warga tempatan itu ditahan pada jam 9 pagi semalam di lobi HSIS.

Polis turut merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital yang digunakan remaja berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.

Sementara itu Kementerian Kesihatan (KKM) melalui kenyataan media semalam memaklumkan awal mendapati remaja perempuan yang ditahan selepas dikesan menyamar sebagai petugas perubatan HSIS, Serdang itu menggunakan kad pengenalan palsu.

Katanya, kes masih di dalam siasatan dan KKM akan memberi kerjasama penuh bagi membantu pihak polis.