Malaysia terus menarik perhatian pelabur global dalam sektor digital apabila mencatat jumlah pelaburan sebanyak RM16.2 bilion dari Januari hingga pertengahan April 2025.

Menteri Digital, Yang Berhormat (YB) Gobind Singh Deo berkata pelaburan ini dijangka mencipta sekitar 6,500 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Baca Juga:

Perkembangan terkini itu jelas merupakan satu petanda positif terhadap hala tuju ekonomi digital negara.

Ujar beliau menurut sumber laporan Malay Mail, pelaburan tertinggi datang dari sektor pusat data dan teknologi ‘cloud’, yang menyumbang lebih 60% daripada jumlah keseluruhan atau RM9.9 bilion.

Pada masa sama, syarikat berasaskan kecerdasan buatan (AI) menjadi sektor paling dominan dalam kalangan syarikat baharu berstatus Malaysia Digital (MD), merangkumi 27% daripada keseluruhan.

Malaysia kini mempunyai 3,891 syarikat aktif berstatus MD, termasuk 254 syarikat yang beroperasi di kawasan utara negara khususnya Pulau Pinang.

Digital
Kredit Foto: Kementerian Digital Malaysia

Negeri tersebut telah mencatatkan pelaburan bernilai RM1.23 bilion dengan 266 peluang pekerjaan bakal diwujudkan dimana majoritinya dalam sektor bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) dan perisian terbenam (embedded).

Dalam ucapannya di Hari Terbuka Malaysia Digital yang berlangsung di Bangunan UAB, Gobind turut menekankan bahawa lima negara penyumbang utama pelaburan digital ke Malaysia adalah Belanda, Singapura, Hong Kong, India dan United Kingdom.

Beliau berkata keyakinan berterusan pelabur terhadap Malaysia didorong oleh kestabilan politik, dasar mesra pelabur, serta komitmen negara dalam membina ekosistem digital yang inklusif dan mampan.

Menariknya, Malaysia dijadualkan menjadi tuan rumah kepada dua acara besar tahun depan iaitu Malaysia AI Summit 2025 yang bakal menghimpunkan pemain industri AI dari seluruh dunia, serta Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 yang akan memfokuskan kepada solusi bandar pintar dan kolaborasi serantau di Asia Tenggara.

Bagi memperkukuhkan sokongan terhadap ekosistem digital di peringkat negeri, sebuah pejabat serantau turut akan ditubuhkan di Pulau Pinang bagi menyelaras program di kawasan utara meliputi Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.

Malaysia kini kelihatan semakin bersedia untuk mengukuhkan kedudukan sebagai hab teknologi serantau, selari dengan visi untuk menjadikan inovasi digital sebagai pemacu utama pembangunan negara.

Sumber