Dengan kemampuan transaksi tanpa sempadan, sesiapa sahaja boleh melakukan pembayaran atau pemindahan dalam bentuk pelbagai matawang dengan mudah menerusi sejumlah aplikasi pertukaran wang di luar sana.
Bagaimanapun, WISE baru-baru ini telah mendedahkan bahawa pada tahun 2023 telah memperlihatkan rakyat Malaysia berdepan kerugian teramat besar kerana kehilangan sekitar RM2.9 bilion tanpa sedar dek kerana kesan fi tersembunyi pada tindakan pertukaran wang fx.
Hanya 18% sedar akan caj tersembunyi

Memetik laman Rnggt, hasil tinjauan WISE bersama YourGov mendapati walaupun 76% rakyat Malaysia yakin mereka faham semua kos pindahan wang ke luar negara, hakikatnya, hanya 18% sahaja yang sedar akan kewujudan caj tersembunyi yang merugikan mereka.
Walaupun iklan kata ‘tiada yuran’ untuk pindahan antarabangsa $1,000 (lebih kurang RM4,424), kos sebenar boleh cecah RM159 disebabkan caj pertukaran mata wang (FX). Ini berlaku jika caj 3.6% dikenakan. Kebanyakan penyedia memang tunjuk yuran, tapi mereka juga sorok caj dalam kadar pertukaran, jadi pengguna bayar lebih dari yang dijangka.
Ini platform pertukaran wang digunakan di Malaysia

Berdasarkan kepada transaksi pemindahan wang yang dilakukan oleh rakyat Malaysia, PayPal mencatatkan jumlah transaksi tertinggi iaitu sebanyak 52%, diikuti oleh penggunaan bank sebanyak 44% dan akhir sekali Western Union sebanyak 33%.
Oleh itu, WISE menasihatkan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati apabila membuat pindahan wang ke luar negara.
Semak terma dan syarat dengan teliti, bandingkan kadar pertukaran di Google dengan kadar yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan, dan sentiasa waspada terhadap tawaran ‘tanpa yuran’ atau ‘yuran rendah’.
Langkah ini membantu pengguna mengelakkan kerugian dan mendapatkan kadar pertukaran terbaik, sekaligus membolehkan rakyat Malaysia menjimatkan lebih banyak wang apabila menghantar wang ke luar negara.