Bayangkan anda masuk ke bilik pameran kereta, dan bukan manusia, tapi robot berteknologi canggih yang menyambut anda.

Dengar macam cerita sains fiksyen, tapi inilah realiti masa depan.

Menerusi pameran Motor Show Shanghai pada 23 April lalu, syarikat automotif global Chery — pemilik jenama Omoda dan Jaecoo — telah memperkenalkan pekerja baru dalam pasukan jualan, iaitu robot AI bernama Mornine, lapor Gulf Today.

Robot

Direka khas untuk membantu di bilik pameran kereta, Mornine bukan sekadar robot biasa.

Dia mampu berinteraksi dengan pelanggan menggunakan suara dan isyarat tangan, menjawab soalan berkaitan kereta, menunjukkan ciri-ciri menarik kenderaan serta menyajikan teh atau kopi kepada pelanggan.

Menurut jurucakap Chery di UK, Ian Wallace, Mornine berfungsi sebagai ‘pembantu jualan pintar’ bagi membantu manusia.

Robot

“Kalau staf tengah sibuk dengan pelanggan lain, Mornine boleh masuk bantu – dia adalah wajah mesra jenama kami,” katanya.

Robot Mesra Pengguna

Apa yang menjadikan Mornine lebih menarik adalah kebolehan pembelajaran mesin (machine learning) yang dimilikinya.

Ini bermaksud semakin banyak dia berinteraksi dengan pelanggan, semakin bijak dia memahami kehendak dan gaya komunikasi mereka.

Robot

Malah, Chery membayangkan bahawa Mornine juga bakal jadi pembantu rumah jika ujian di bilik pameran membuahkan hasil.

Mornine juga dibina untuk membolehkannya berjalan tegak seperti manusia serta menggunakan tangan untuk memegang objek.

Dia juga mampu membezakan suara pelanggan, menjadikannya mesra pengguna.